ISTANBUL, 21 OGOS – Seorang pelancong asing hari ini berdepan siasatan jenayah kerana menyinggung ‘nilai moral negara’ kerana melakukan tarian pada tiang bendera Turkiye di kawasan tumpuan pelancong Cappadocia, kata pejabat gabenor.
Pendakwa raya memulakan siasatan selepas rakaman muncul di media sosial seorang wanita muda memakai seluar biru dan kemeja-T putih melakukan beberapa gerakan menentang graviti di atas tiang bendera di puncak bukit di Uchisar.
Tetapi persembahan selama 12 saat itu menimbulkan kemarahan pihak berkuasa dengan pejabat gabenor wilayah Nevsehir memfailkan aduan jenayah terhadap wanita yang tidak dikenali itu, tanpa memberikan nama, kewarganegaraan atau umurnya, mendorong siasatan oleh ketua pendakwa raya kawasan itu.
“Mengenai kelakuan tidak wajar seorang warga asing di tiang bendera Turkiye di bandar kami… aduan jenayah telah difailkan dan siasatan undang-undang dibuka oleh pejabat ketua pendakwa raya di Nevsehir di bawah Akta 300 dan 301 kanun keseksaan Turkiye,” kata gabenor itu dalam satu kenyataan.
“Pejabat gabenor sedang memantau dengan teliti kejadian tidak bermoral itu, yang kami lihat sebagai menunjukkan tidak menghormati nilai moral negara kami,” tambahnya.
Di bawah Akta 300, adalah menyalahi undang-undang untuk tidak menghormati bendera Turkiye secara terbuka dalam kesalahan yang boleh membawa hukuman penjara sehingga tiga tahun.
Mankala Akta 301 pula memperkatakan kesalahan menghina orang, negara Turkiye, kerajaan atau wira negaranya dan membawa hukuman penjara sehingga dua tahun. – AFP


