Penyanyi Zizi Kirana terkejut apabila mengetahui persembahannya semasa ulang tahun sebuah laman membeli-belah atas talian yang disiarkan pada malam Khamis lalu menjadi tular di media sosial.
Zizi berkata, dia menerima banyak mesej daripada penonton yang menegur aksinya kerana dikatakan keterlaluan ketika negara sedang berdepan penularan wabak Covid-19.
“Sebenarnya persembahan itu adalah rakaman dan bukan siaran langsung, ia dirakam di rumah ketika hari pertama Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) minggu lalu.
“Apabila bangun pagi saya terkejut terima banyak mesej, komen berbentuk kecaman dan paparan skrin persembahan saya malam itu. Saya pun hairan ada buat salah apa?
“Mereka kata saya tak hormati malam Jumaat… sedangkan waktu program itu bersiaran bukan bidang kuasa saya. Ia ditentukan oleh stesen televisyen dan klien mereka,” katanya kepada media.
Pada Khamis lalu, program mempromosikan portal membeli-belah atas talian dikecam teruk warga net kerana menyajikan hiburan pada malam Jumaat dan dikatakan tidak sensitif dengan isu semasa.
“Malam Jumaat, di saat Malaysia sedang dilanda satu wabak yang cukup dahsyat, kematian sudah melebihi angka 20, ribuan masih menderita dan dirawat… mereka meyajikan aksi terkinja-kinja untuk tetapan bagi menghiburkan rakyat! Bala apa lagi yang kalian ingin undang ke Malaysia ini?,” tulis salah seorang pengguna laman sosial.
Dalam konsert itu, penyanyi lagu Eh ini menjadi salah seorang sele-briti jemputan, namun foto persembahannya sahaja menjadi perbualan hangat penonton.
Selain Zizi, artis lain yang turut membuat persembahan dari rumah masing-masing ialah Haqiem Rusli, Hael Husaini, Ismail Izzani, Nabila Razali, Elizabeth Tan dan Hafiz Suip. – Agensi
