KUCHING, 20 MEI – Tarif balas yang dikenakan oleh Amerika Syarikat (AS) dijangka memberi impak yang terhad terhadap ekonomi Sarawak, kata Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Sarawak, Datuk Malcolm Mussen Lamoh.
Beliau berkata eksport negeri ke AS berjumlah RM1.2 bilion pada 2023, menyumbang hanya 0.9 peratus kepada keseluruhan eksport. Eksport utama ke AS ialah feroaloi.
“Eksport utama Sarawak terdiri daripada gas asli cecair (LNG), petroleum, minyak sawit dan aluminium. Eksport ini berjumlah RM102.6 bilion pada 2023 dan menyumbang 78.4 peratus kepada jumlah eksport Sarawak.
“Pasaran eksport utama kami ialah Asia, yang menyumbang 73.4 peratus daripada keseluruhan eksport. Tarif baharu ini dijangka memberi impak langsung yang minimum kepada Sarawak,” katanya pada sesi soal jawab persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak hari ini.
Mussen menjawab soalan Dr Johnichal Rayong (GPS-Engkilili) yang ingin mengetahui mengenai impak tarif balas yang dikenakan oleh AS terhadap ekonomi Sarawak.
Katanya, tarif tersebut memberi impak yang terhad kepada ekonomi negeri terutamanya disebabkan destinasi eksport komoditi utama Sarawak.
Kebanyakan LNG dieksport ke Jepun dan China, minyak sawit dihantar ke China dan India dan eksport petroleum sebahagian besarnya tertumpu di Semenanjung Malaysia, Australia dan Thailand. – Bernama
