Wednesday, December 4, 2024
24 C
Brunei

    Berita Terkini

    Tarif AS terhadap panel solar halang tindakan iklim

    PHNOM PENH, 3 DIS – Keputusan Amerika Syarikat (AS) untuk mengenakan tarif terhadap import panel solar dari empat negara Asia Tenggara akan menghalang usaha global untuk memerangi perubahan iklim dan memberi impak negatif kepada pengguna di Amerika, lapor Xinhua memetik pakar dari Kemboja.

    Kin Phea, ketua pengarah Institut Perhubungan Antarabangsa Kemboja, sebuah badan pemikir di bawah Akademi Diraja Kemboja, menyifatkan langkah itu sebagai manifestasi pendekatan menang-kalah.

    “Tarif ini menjejaskan usaha global untuk menangani perubahan iklim dan boleh melambatkan peralihan kepada sumber tenaga boleh diperbaharui. “Kesannya melangkaui pengeksport Asia Tenggara, memberi kesan negatif kepada pengguna dan perniagaan di AS yang bergantung kepada teknologi suria yang mampu milik,” katanya kepada Xinhua.

    Phea berkata bahawa pelaksanaan tarif itu mempunyai akibat yang tidak produktif, menegangkan hubungan antarabangsa, merosakkan kestabilan ekonomi domestik dan menghalang kemajuan ke arah matlamat kelestarian alam sekitar.

    “Dasar ini mencerminkan salah faham yang mendalam terhadap kesalinghubungan pasaran global dan tanggungjawab bersama terhadap alam sekitar,” katanya.

    Profesor kanan di Universiti Antarabangsa BELTEI di Phnom Penh, Joseph Matthews berkata bahawa tarif terbabit gagal melindungi pengeluar AS sambil membebankan pengguna. – Bernama

    Gambar Freepik
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda