DUBAI, 1 MEI – Negara-negara di seluruh Timur Tengah dan Afrika Utara (MENA) berdepan cabaran besar terhadap pertumbuhan ekonomi apabila rantau itu berhadapan ketidaktentuan ekonomi akibat langkah tarif dan harga minyak yang lebih rendah berbanding sebelumnya dan pemotongan bantuan kewangan, kata Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF), kelmarin.
Laporan tinjauan serantau IMF bagi rantau MENA menyatakan harga minyak mentah Brent yang pernah mencecah lebih AS$120 setong pada 2022 dijangka berada dalam lingkungan AS$65 hingga AS$69 setong pada tahun 2025 dan 2026, menjadikan ekonomi pengeksport tenaga terdedah kepada pasaran tidak stabil.
Rancangan tarif oleh Amerika Syarikat (AS)dan negara lain serta ketegangan geopolitik turut menambahkan ketidaktentuan ekonomi global di rantau ini, yang boleh menjejaskan pertumbuhan antara 2 peratus hingga 4.5 peratus, kata Pengarah IMF bagi Timur Tengah dan Asia Tengah, Jihad Azour.
“Oleh itu, negara-negara perlu bertindak dan merangka dasar bagi melindungi ekonomi mereka,” kata Azour dalam satu temu bual di Dubai.
Pengurangan bantuan asing ke rantau ini juga memainkan peranan, kata Azour, memandangkan Presiden AS, Donald Trump telah menarik semula komitmen negaranya sebagai penyumbang bantuan terbesar dunia.

Pertumbuhan di rantau MENA dijangka mencecah 2.6 peratus tahun ini berbanding 1.8 peratus tahun lalu, kata Azour, namun beliau menambah ketidaktentuan global boleh menjejaskan unjuran tersebut.
Ekonomi di Teluk Parsi terus menarik pelaburan langsung asing dalam jumlah besar, meningkat hampir 2 peratus daripada KDNK sejak pandemik, manakala negara MENA lain masih bergelut dengan aliran masuk pelaburan yang perlahan.
IMF menyatakan kesediaan untuk bekerjasama dengan beberapa negara yang menghadapi kesukaran serta kerajaan baharu di Syria.
Azour turut berkata kakitangan IMF dan pegawai Lubnan sedang mengadakan perbincangan di negara itu.
Walaupun berdepan ketidaktentuan ekonomi global, laporan itu menyatakan bahawa negara-negara MENA boleh memacu pertumbuhan melalui pembaharuan struktur dan kepelbagaian hubungan ekonomi. – AP