Saturday, February 22, 2025
23.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Tarif ke atas kereta, cip dan farmaseutikal ‘dalam sebulan atau lebih awal’ – Trump

    WASHINGTON, 20 FEB – Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump berkata kelmarin, beliau akan mengumumkan pelbagai tarif ‘dalam tempoh sebulan atau lebih awal’.

    “Saya akan mengumumkan tarif ke atas kereta, semikonduktor dan cip, farmaseutikal, ubat-ubatan dan kayu, serta beberapa barangan lain dalam tempoh sebulan atau lebih awal,” kata Trump seperti yang dipetik oleh agensi Anadolu (AA) pada sidang kemuncak pelaburan asing di Miami.

    Beliau tidak memberikan butiran lanjut.

    Sambil berucap kepada pelabur, Trump berkata beliau juga akan bekerjasama dengan Kongres Republikan untuk meluluskan ‘pemotongan cukai terbesar’ dalam sejarah Amerika.

    “Kami akan memotong cukai secara mendadak untuk keluarga, pekerja dan syarikat, termasuk tiada cukai ke atas tip dan diharapkan tiada cukai ke atas Keselamatan Sosial dan kerja lebih masa,” tambahnya.

    Presiden Donald Trump tiba untuk berucap pada sidang kemuncak Institut Inisiatif Pelaburan Masa Depan (FII) di Miami Beach, pada 19 Februari. – AP

    Trump turut berkata beliau akan memotong cukai ‘secara besar-besaran’ untuk semua pengeluar minyak dan gas domestik.

    Beliau juga berjanji untuk segera mengisi Rizab Petroleum Strategik.

    “Dunia bergantung pada tenaga kos rendah dan negara pengeluar tenaga seperti kami tidak perlu meminta maaf.

    Kami mempunyai lebih banyak tenaga berbanding mana-mana negara lain di dunia dan kami akan menggunakannya,” katanya.

    Pemimpin perniagaan ‘terbaik dan paling berjaya’ di dunia kini berlumba-lumba untuk melabur di AS, katanya sambil menegaskan, “Saya komited untuk menjadikan Amerika sebagai pusat kripto.” – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda