ZURICH, 21 OKT – Tarif tinggi Amerika Syarikat (AS) terhadap Switzerland menjejaskan eksport negara Alp itu pada suku ketiga tahun ini, menurut angka rasmi yang dikeluarkan hari ini, dengan pengeluar jam tangan Switzerland antara yang paling terkesan.
Secara keseluruhan, eksport merosot sebanyak 3.9 peratus antara awal Julai hingga akhir September, menurut perkhidmatan kastam persekutuan, namun penurunan dalam nilai barangan yang dihantar ke AS amat ketara.
Eksport Switzerland ke AS bagi suku tersebut menjunam sebanyak 8.2 peratus, ketika negara itu berdepan tarif sebanyak 39 peratus yang dikenakan oleh Presiden AS, Donald Trump, berkuat kuasa pada Ogos.
Eksport jam tangan ke AS merosot lebih separuh pada September, menurut Persekutuan Industri Jam Tangan Switzerland.
Penurunan jualan sebanyak 56 peratus ke AS itu menghapuskan sepenuhnya peningkatan besar eksport ke beberapa pasaran Asia seperti China dan Korea Selatan, jelasnya.

Kejatuhan tersebut menambah kepada penurunan 24 peratus dalam eksport jam tangan ke AS yang direkodkan pada Ogos.
Secara keseluruhan, eksport bagi suku ketiga berjumlah AS$84 bilion, iaitu 3.9 peratus lebih rendah berbanding suku kedua.
Switzerland turut mencatatkan penurunan eksport 5.9 peratus ke Kesatuan Eropah (EU). Negara itu bukan ahli EU, namun mengambil bahagian dalam pasaran tunggal Eropah.
Eksport ke Asia juga jatuh sebanyak 3.3 peratus, berpunca terutamanya daripada penurunan eksport ke China.
Perkhidmatan kastam memaklumkan bahawa keseluruhan eksport sektor kimia dan farmaseutikal Switzerland menurun sebanyak 7.2 peratus, manakala eksport jam tangan susut sebanyak 3.7 peratus.
Eksport Switzerland mengalami turun naik yang ketara sepanjang tahun ini.
Eksport pada suku pertama melonjak apabila pesanan farmaseutikal Switzerland meningkat di AS, di mana pengimport AS bergegas membuat pesanan sebelum tarif Trump dilaksanakan. – AFP

