THE HAGUE, 3 Mei – Kesatuan pemain dunia, FIFPro, menggesa kuasa bola sepak Itali semalam untuk menghapuskan kad kuning Sully Muntari kerana meninggalkan padang pada hujung minggu lalu, selepas peminat melakukan ejekan perkauman terhadap pemain dari Ghana itu.
Bekas pemain AC Milan dan Inter itu secara dramatik meninggalkan padang pada Ahad lalu ketika beraksi bagi Pescara di Cagliari selepas dia dengan berang berdepan dengan peminat–peminat Cagliari, yang mendakwa dia diejek sebelum dilayangkan kad kuning.
Ketika meninggalkan padang dalam kekecewaan dan melaungkan “Basta! (Cukup)”, Muntari pergi berdepan dengan penyokong, menunjukkan mereka lengannya dan melaungkan: “Ini adalah warna saya, ini adalah warna saya.”
Muntari, 32, menerima penggantungan satu perlawanan lewat semalam dari pegawai liga Itali kerana keputusannya untuk meninggalkan padang beberapa saat sebelum tamat perlawanan, keputusan yang mengakibatkannya dilayangkan kad kuning kedua, dan kemudian kad merah, dari pengadil perlawanan, Daniele Minelli.
“FIFPro percaya kad kuning Muntari seharusnya dibatalkan,” kata kesatuan yang berpangkalan di Belanda itu dalam satu kenyataan.

“Muntari mempunyai hak untuk menghampiri pengadil, Daniele Minelli, sebagai rujukan pertama, untuk menyatakan kekecewaannya diketahui dan mendapatkan penye-lesaian,” katanya dari ibu pejabat di luar Amsterdam.
FIFPro menggesa pihak berkuasa bola sepak Itali untuk “mendengarkan versi kejadian Muntari, menyiasat mengapa keadaan itu tidak dapat dikawal, dan mengambil tindakan tegas bagi memastikan ini tidak akan berlaku lagi.”
Liga Itali berkata mereka mengenakan larangan ke atas pemain Ghana itu kerana bantahannya dan “sikapnya yang tidak mengikuti peraturan” selepas meninggalkan padang tanpa kebenaran. – AFP