Jumaat, 21 November 2025
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Tarik kembali pelajar ke bidang perubatan

    KUALA LUMPUR – Suatu ketika dulu, kerjaya sebagai doktor dilihat sebagai antara pencapaian tertinggi seorang pelajar sehinggakan tercetus polemik apabila tempat yang ditawarkan oleh universiti tempatan tidak dapat menampung permohonan pelajar untuk menyambung pendidikan dalam bidang perubatan.

    Malah, ramai ibu bapa yang sanggup berhabis menghantar anak mereka melanjutkan pengajian dalam bidang itu di luar negara selepas gagal mendapat tempat di institusi tempatan.

    Zaman beredar, kini bidang itu semakin dijauhi dengan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad dipetik oleh media sebagai menyeru pelajar yang memperoleh keputusan A penuh dalam Sijil Pelajaran Malaysia agar menyambung pendidikan dalam bidang sains perubatan di universiti.

    Malah, menteri itu juga meluahkan kebimbangan dengan trend penurunan minat pelajar terhadap aliran Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) yang turut berisiko memberi impak kepada sektor perubatan negara.

    SEMAKIN DIPINGGIRKAN

    Penurunan minat generasi muda terhadap bidang perubatan ini diakui oleh Prof Madya Dr Norsham Juliana Nordin, pensyarah fisiologi di Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).

    Menurut beliau, anak muda sekarang lebih terdedah kepada pelbagai maklumat dan sangat celik tentang pilihan kerjaya kerana mereka membesar dalam persekitaran berbeza berbanding generasi terdahulu.

    Penting bidang kedoktoran terus diwarisi oleh generasi seterusnya kerana jumlah rakyat yang semakin meningkat. – Bernama
    Bidang perubatan semakin dipinggirkan oleh generasi muda hari ini sebagai kerjaya mereka. – Bernama

    Di samping itu katanya, naratif media sosial yang memfokuskan pada kepayahan, waktu kerja yang panjang serta ganjaran tidak setimpal, membuatkan ramai pelajar cemerlang menjauhkan diri daripada bidang perubatan.

    Keadaan itu juga katanya disebabkan oleh persepsi masyarakat masa kini yang lebih memandang pada saiz pendapatan dan bukan impak sebenar sesebuah pekerjaan.

    Dr Norsham Juliana turut tidak menolak daya tarikan bidang perubatan semakin berkurangan disebabkan oleh kerjaya itu sendiri yang dijatuhkan hukuman ‘bersalah sebelum terbukti bersalah’ dalam konteks rawatan kepada pesakit.

    Memetik ungkapan dalam filem Spider-Man, With great power comes great responsibility (kuasa hadir bersama-sama dengan tanggungjawab berat), beliau berkata setiap keputusan yang diambil mendedahkan doktor kepada risiko.

    “Setiap tindakan yang dibuat dalam menyelamatkan pesakit, walau sekecil mana, membuka ruang kepada akauntabiliti. Namun saya yakin para doktor (sedia ada) tetap tabah,” katanya yang melihat aspek itu turut menyumbang kepada kekurangan minat generasi muda sekarang pada bidang perubatan.

    KEMBALIKAN MAKNA SEBENAR

    Bagi meningkatkan semula daya tarikan profesion itu, Dr Norsham Juliana mengesyorkan agar dari semasa ke semasa pengamal dan juga pelajar perubatan diingatkan nilai sebenar profesion mereka, iaitu kemuliaan dalam menyelamatkan nyawa.

    Beliau berpendapat untuk mengembalikan zaman kegemilangan bidang kedoktoran, pendekatan yang lebih menyeluruh perlu digerakkan dengan mewujudkan semula kegembiraan dalam sistem pembelajaran.

    “Saya yakin generasi muda bukan tidak berani berkorban tetapi mereka mahu pengorbanan itu dihargai dan disokong oleh sistem yang adil. Inilah masanya untuk semua pihak yang terlibat mencorak profesion ini, khususnya pakar dan tokoh-tokoh besar bidang perubatan, tampil dan melakukan perubahan.

    Beliau berpendapat kurikulum perubatan hari ini boleh menerapkan suasana belajar yang menyeronokkan dan berinovasi tanpa menggugat keaslian ilmu perubatan.

    Malah, katanya, kajian membuktikan bahawa pembelajaran yang mencetuskan emosi positif membantu daya ingatan, penyelesaian masalah dan membentuk empati selain mempamerkan ciri-ciri utama seorang doktor yang hebat. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda