Monday, May 12, 2025
31.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Tarik minat anak tempatan kerja di sektor swasta

    Oleh Sim Y. H. – 

    BANDAR SERI BEGAWAN, 15 MAC – Dalam usaha untuk mewujudkan tenaga kerja tempatan yang boleh diambil bekerja dan boleh dipasarkan, Pejabat Perancangan Tenaga Manusia dan JobCentre Brunei, melalui Manpower Planning and Employment Council (MPEC) dan kerjasama institusi-institusi pendidikan di negara ini, melaksanakan usaha berterusan dalam menyediakan program-program seperti i-Ready, Program Study in Professional Institution (SPIN), Skills Plus, Technical and Vocational Education Training (TVET), Tradeskills serta Program Jati Diri yang mendukung usaha-usaha ke arah pembangunan modal insan yang dinamik, proaktif dan inovatif.

    “Dalam pada itu, bagi meningkatkan pengetahuan dan kemahiran anak-anak tempatan pada peringkat profesional, selain penyediaan rangka kerja kompetensi seperti Rangka Kerja Kompetensi Industri ICT Brunei, dan Program Rangka Kerja Kompetensi Marin Brunei Darussalam, Program Perantisan TechInspire, Program Penyeliaan Klinikal (CSP) dan iLeap Flexi telah diperkenalkan yang menyediakan program latihan di dalam bidang ICT, kesihatan, minyak dan gas, ke arah memastikan kemahiran anak tempatan disejajarkan dengan keperluan industri dan ekonomi.”

    Usaha untuk memperkasakan tenaga kerja tempatan dijelaskan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan Menteri Pertahanan Kedua, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof dalam pembentangan peruntukan JPM dan jabatan-jabatan di bawahnya semasa Persidangan Majlis Mesyuarat Negara (MMN) ke-20 yang berlangsung di Dewan Majlis, Jalan Dewan Majlis, kelmarin.

    Manakala itu, dalam usaha menarik minat anak-anak tempatan untuk bekerja di sektor swasta, jelas Yang Berhormat Pehin, Garis Panduan Gaji juga telah diperkenalkan yang menggariskan maklumat gaji jawatan-jawatan tertentu serta bagi membantu syarikat-syarikat swasta dalam menyediakan pakej gaji yang lebih kompetitif.

    Yang Berhormat Pehin Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Halbi seterusnya menyatakan bahawa penganjuran program bagi peringkat akar umbi, kendalian JobCentre Brunei, yang melibatkan penghulu mukim dan ketua kampung untuk berganding bahu dalam menangani isu-isu yang dihadapi oleh anak-anak kampung, terutamanya dari segi hal ehwal pekerjaan.

    Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi semasa Persidangan MMN ke-20.
    – GAMBAR OLEH INFOFOTO

    Melalui program berkenaan, taklimat mengenai skop kerja, inisiatif serta program yang diungkayahkan, telah diberikan dan sesi dialog juga dilaksanakan.

    Melalui sesi dialog itu, penghulu mukim dan ketua kampung telah berkesempatan mengongsikan isu-isu, pandangan dan cadangan penambahbaikan dalam sama-sama berusaha ke arah mengurangkan kadar pengangguran serta meningkatkan pengambilan pekerjaan dan kemahiran dalam kalangan anak-anak tempatan di Negara Brunei Darussalam.

    Dalam menjaga kebajikan peserta-peserta program tenaga manusia yang dikendalikan, inisiatif-inisiatif seperti pemberian on-boarding pack, pemantauan dan penilaian berkala melalui lawatan-lawatan, penyediaan borang maklum balas, dan nombor talian hotline juga telah diperkenalkan oleh Pejabat Perancangan Tenaga Manusia.

    Sementara di sektor tenaga pula, Yang Berhormat Pehin menyatakan inisiatif dalam memperluaskan lagi peluang pekerjaan bagi anak-anak tempatan khususnya di syarikat-syarikat pengendali utama minyak dan gas termasuk jua syarikat-syarikat industri sektor hiliran mi-nyak dan gas, giat dilaksanakan selaras dengan matlamat Arahan Bruneianisation (Bruneianisation Directive).

    Manakala itu, Arahan Pembangunan Perniagaan Tempatan untuk Industri Minyak dan Gas akan terus memainkan peranan penting dalam menyediakan eko-sistem yang kompetitif bagi perusahaan-perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) tempatan sebagai misal program i-Usahawan.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda