Tuesday, March 18, 2025
23.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Tarik minat belia ceburi bidang pertanian

    Oleh Yusrin Junaidi

    BANDAR SERI BEGAWAN, 28 OGOS – Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan (KSSUP) melalui Jabatan Pertanian dan Agrimakanan sekali lagi mengungkayahkan Program Pendedahan Belia-belia Berpotensi untuk Menceburi Bidang Pertanian Berteknologi Tinggi.

    Program yang diadakan buat kali ketiga itu berlangsung selama empat hari bermula hari ini hingga 3 September di Dewan Simpur, Pusat Urus niaga Hortikultur Rimba, Gadong dan disertai oleh seramai 18 orang peserta.

    Menurut kenyataan yang diberikan, program meliputi sesi taklimat yang disampaikan oleh Pengarah Pertanian dan Agrimakanan, Hajah Aidah binti Haji Mohd Hanifah serta para pegawai dari Jabatan Pertanian dan Agrimakanan.

    Program ini merupakan salah satu inisiatif Jabatan Pertanian dan Agrimakanan dalam mendukung Pelan Strategik Jabatan Pertanian dan Agrimakanan 2016-2022, yang berkaitan dengan usaha untuk meningkatkan penglibatan belia dalam sektor pertanian.

    Di samping itu, ia juga bertujuan untuk mendedahkan perusahaan pertanian sebagai satu perniagaan menguntungkan, khususnya dalam bidang industri tanaman menggunakan sistem teknologi tinggi bagi meningkatkan hasil keluaran pertanian.

    Program dibahagikan kepada sesi taklimat dan sesi lawatan ke ladang pertanian dan pasar raya. Semasa sesi taklimat, penerangan meliputi mengenai peluang-peluang pelaburan dalam bidang industri tanaman, simulasi kewangan bagi perusahaan pertanian menggunakan teknologi tinggi dan peluang-peluang pasaran di pasar raya tempatan. Sementara itu, dalam sesi lawatan, antara pasar raya dan ladang pertanian yang dilawati ialah Supasave, Hua Ho Department Store, RZ Prisma Enterprise, Syarikat Greenthumb Farms Sdn Bhd, Ladang Tunas Harapan dan Riverland Agriculture Farm.

    Melalui program ini, Jabatan Pertanian dan Agrimakanan cuba untuk menarik minat belia-belia termasuk graduan lepasan institusi pengajian tinggi, dan dengan melibatkan sokongan daripada keluarga masing-masing dari segi moral dan modal, untuk menggalakkan anak-anak mereka menceburkan diri dalam bidang pertanian. Para belia yang berminat bolehlah menghubungi Bahagian Industri Tanaman, Jabatan Pertanian dan Agrimakanan di talian 2470400, 2388095, atau 2382822.

    Hajah Aidah serta para pegawai dari Jabatan Pertanian dan Agrimakanan ketika mengadakan taklimat di Dewan Simpur, Pusat Urus niaga Hortikultur Rimba.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda