Sabtu, 22 November 2025
28.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Tarik minat belia ceburi bidang pertanian

    Oleh Sim Y. H. – 

    BANDAR SERI BEGAWAN, 5 MAC – Tidak dapat dinafikan penglibatan belia dalam bidang pertanian amat penting dan Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan (KSSUP) melaksanakan pelbagai program untuk melibatkan golongan belia dengan menggunakan teknologi dalam pertanian.

    Golongan belia lebih cenderung untuk melibatkan diri dalam bidang pertanian yang memanfaatkan teknologi di mana ia boleh dijadikan sebagai penarik bagi mereka untuk berkecimpung dalam bidang berkenaan sebagai agropreneurs, jelas Menteri Sumber-sumber Utama dan Pelancongan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Abdul Manaf bin Haji Metussin ketika memberikan penerangan berkaitan persoalan yang dikemukakan oleh beberapa orang ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN) mengenai penglibatan golongan belia dalam bidang pertanian semasa Persidangan MMN yang berlangsung di Bangunan Dewan Majlis, Jalan Dewan Majlis, hari ini.

    Beliau menyatakan pelbagai inisiatif dilaksanakan untuk meningkatkan produktiviti dan kelestarian, termasuk pelibatan belia sebagai pemimpin dalam industri pertanian. KSSUP juga sedang mengkaji cara-cara untuk meningkatkan pembiayaan dan penyediaan teknologi dalam sektor pertanian serta menggalakkan peningkatan penggunaan teknologi tinggi dalam amalan pertanian.

    Di samping itu, Yang Berhormat Dato menyarankan para belia yang berminat menceburi bidang pertanian untuk melibatkan diri dalam program-program yang sedia ada bersama pihak yang berkepentingan termasuk Darussalam Enterprise (DARe) bagi memajukan perusahaan mereka.

    Sementara itu, menyentuh mengenai persoalan mengenai Makmal Tissue Culture yang dikemukakan oleh ahli MMN, Yang Berhormat Hajah Rosmawatty binti Haji Abdul Mumin, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Abdul Manaf menerangkan pihak kementeriannya berkerjasama dengan pihak UNISSA untuk menggiatkan lagi projek tissue culture di mana menerusi kerjasama itu, ia diharap lepasan-lepasan graduan UNISSA akan dapat berkecimpung dalam pengeluaran biji benih melalui tissue culture.

    Beliau menerangkan lanjut bahawa jika mereka mengeluarkan tissue culture itu, ia tidak akan menguntungkan mereka sepenuhnya dan Jabatan Pertanian dan Agrimakanan amat teruja untuk membantu mereka dalam membuka serta mengusahakan ladang mereka sendiri. Menerusi usaha itu, ia akan membantu menjana pendapatan dan aliran tunai bagi mereka supaya dapat menjadikan perusahaan mereka lebih berdaya tahan.

    Inilah inisiatif yang dilaksanakan oleh KSSUP yang bekerjasama dengan pihak UNISSA untuk mempromosikan penggunaan tissue culture sebagai sumber untuk pengeluaran biji-biji benih, jelasnya lagi.

    Gambar Freepik
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda