Friday, January 24, 2025
23.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Tarik minat pelabur asing

    Pada ruangan Pendapat Pembaca minggu lepas, saya terbaca tulisan seorang anak muda yang mencadangkan supaya umur persaraan diturunkan.

    Ada meritnya dalam cadangan yang beliau kemukakan. Namun, saya berpendapat, negara kita seharusnya menangani isu pengangguran dengan menyediakan lebih banyak peluang pekerjaan. Tetapi, soalnya bagaimana?

    Tidak lain tidak bukan, hanyalah dengan menarik minat pelabur asing.

    Pelaburan Langsung Asing (FDI) adalah penting bagi pertumbuhan ekonomi negara dan boleh membantu meningkatkan pembangunan sektor-sektor tertentu. Terdapat beberapa cara yang boleh digunakan untuk meningkatkan FDI.

    Antaranya, kerajaan perlu mencipta persekitaran yang mesra perniagaan dengan memperbaiki peraturan dan prosedur memulakan perniagaan, serta mengurangkan birokrasi. Ini akan memberikan keyakinan kepada pelabur asing untuk melabur ke negara ini.

    Pembinaan kilang-kilang berteknologi tinggi mampu menawarkan banyak peluang pekerjaan kepada anak-anak muda dengan gaji berpatutan.

    Seterusnya, memberikan insentif pelaburan. Kerajaan boleh memberikan insentif seperti potongan cukai, pengecualian cukai, subsidi atau kemudahan kewangan khas kepada pelabur asing. Ini akan meningkatkan daya tarikan pelaburan dan menjadikan negara lebih kompetitif dalam menarik pelaburan asing.

    Selepas itu, kerajaan juga perlu membangunkan infrastruktur yang baik seperti jalan raya, lapangan terbang, pelabuhan dan rangkaian telekomunikasi di seluruh negara. Kerajaan perlu melabur dalam pembangunan infrastruktur yang berkualiti tinggi untuk meningkatkan daya tarikan pelaburan. Ini bukan sahaja baik untuk rakyat, malah pasti dapat menarik minat pelabur asing.

    Walau bagaimanapun, jangan kita lupa untuk memperkasa tenaga kerja tempatan.

    Memastikan tenaga kerja tempatan mempunyai kemahiran yang mencukupi dan berkualiti tinggi adalah penting bagi pelabur asing. Kerajaan boleh menyediakan peluang pendidikan dan latihan bagi tenaga kerja tempatan untuk meningkatkan kemahiran mereka dalam sektor-sektor yang berkaitan dengan pelaburan asing. Sebagai contoh, tiada gunanya kilang semikonduktor dibina di sini jika negara kekurangan jurutera pakar yang mampu memantau operasi syarikat.

    Akhir sekali, peningkatan FDI memerlukan usaha dan komitmen kerajaan yang berterusan.

    Dengan langkah-langkah yang tepat, negara dapat meningkatkan daya tarikan pelaburan asing dan meraih manfaat ekonomi yang berkekalan. Insya Allah, setelah banyak kilang berteknologi tinggi dibuka di sini kelak, kita mungkin tidak perlu menurunkan umur persaraan kerana anak-anak muda kitani boleh mengisi kekosongan jawatan tersebut.

    Masih mahu bekerja

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda