CENNAI, 31 Mac – Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mempelawa lebih ramai pelabur India memanfaatkan kedudukan strategik Malaysia untuk mengukuhkan kehadiran mereka di rantau ASEAN dan melepasinya.
Beliau berkata penyelesaian Rundingan Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) dalam tempoh terdekat akan menjadikan Malaysia lokasi ideal untuk mereka, sama ada mewujudkan pertubuhan serantau atau menggunakan negara ini sebagai gerbang untuk menembusi pasaran ASEAN, ekonomi ketujuh terbesar di dunia.
Bercakap pada rundingan meja bulat interaksi bersama Dewan Perniagaan dan Industri India Selatan di sini, Perdana Menteri berkata berdasarkan ekonomi Malaysia yang pelbagai, asas pembuatan yang kukuh, infrastruktur pembangunan dan perhubungan yang maju yang memenuhi standard antarabangsa, wujud potensi besar untuk meningkatkan lagi kerjasama antara kedua-dua negara.
“Negara kami boleh menjadi pintu masuk anda untuk ke ASEAN dan melepasinya. Saya mengajak anda semua untuk memanfaatkan pelbagai peluang yang ditawarkan oleh Malaysia,” kata Najib yang tiba di ibu negeri Tamil Nadu ini pada Khamis bagi memulakan lawatan rasmi enam hari ke India.
Perbincangan hari ini dianjurkan oleh Persatuan Dewan Perniagaan dan Industri India Malaysia (MAICCI).

RCEP yang turut meliputi China, Jepun, Korea Selatan, Australia dan New Zealand, menawarkan potensi besar bagi pertumbuhan perdagangan dan pelaburan menerusi pengurangan halangan, akses pasaran yang lebih baik dan integrasi ekonomi yang lebih mendalam.
Perjanjian perdagangan strategik itu juga akan meningkatkan daya saing ekonomi dan hubungan perniagaan secara menyeluruh di rantau ini, kata Najib yang juga Menteri Kewangan.
Najib menekankan bahawa Malaysia telah memperkenalkan skim Hab Asas.
Ini bertujuan menjadikan Malaysia lebih menarik kepada syarikat global untuk memperuntukkan sumber mereka, dan berada pada kedudukan yang baik untuk memanfaatkan lokasi berdaya saing negara dalam ASEAN dan rantau Asia Pasifik.
Najib berkata Malaysia juga terus mengeksploitasi potensi besar e-dagang bagi meningkatkan penumpuan dalam rantaian bekalan global, dengan merujuk kepada Zon Bebas Digital pertama dunia yang baru dilancar.
Zon itu dilancarkan bersama oleh Najib dan Jack Ma, pengasas dan pengerusi eksekutif Alibaba Group, minggu lepas.
“Inisiatif ini merupakan sebahagian daripada pelan tindakan e-dagang negara yang menawarkan persekitaran kondusif bagi syarikat digital untuk menjalankan perniagaan mereka.
“Ini menyediakan peluang yang besar bagi pelabur, dan kami menjemput anda untuk memanfaatkan peluang dalam bidang pertumbuhan baru ini di Malaysia,” kata Najib.
Beliau juga berkata hubungan ekonomi dan perdagangan antara Malaysia dan
India semakin berkembang dan meningkat lebih empat kali ganda sejak 2003 hingga 2015, dirangsang oleh kedudukan politik dan pertukaran perniagaan yang sihat dan mencatat tahap tertinggi.
India merupakan rakan dagang ke-10 terbesar Malaysia, menyumbang 3.3 peratus atau AS$11.7 bilion daripada jumlah dagangan negara.
Eksport utama ke India termasuk minyak sawit dan produk berasaskan sawit, barangan elektrik dan elektronik, petroleum mentah, program logam dan kimia.
Najib berkata import utama dari India terdiri daripada petroleum, pertanian, logam, bahan kimia, jentera dan peralatan, manakala syarikat Malaysia seperti Tune Hotels, IJM Corp dan UMW Corporation turut mengembangkan operasi mereka di negara ini.
Beliau berkata hubungan Malaysia-India diperkukuhkan lagi oleh perjanjian dua hala dan pelbagai hala seperti Perjanjian Kerjasama Ekonomi Komprehensif Malaysia-India (MICECA) dan Perjanjian Perdagangan Bebas ASEAN-India (AIFTA). – Bernama