WILAYAH Sumatera Barat di Indonesia terus mempromosikan kepelbagaian budaya dan tarikan alam semula jadi untuk meningkatkan sektor pelancongan di kawasan itu. Antara tarikan popular dan tumpuan utama pelancong di wilayah itu ialah Danau Kembar di daerah Solok, Lembah Harau di daerah Lima Puluh Kota dan Tasik Maninjau di daerah Agam.
Pihak pemerintah daerah Agam merekodkan jumlah pelancong asing yang tinggi sehingga mencecah 1,000 orang sebulan di Tasik Maninjau. Ketua Jabatan Pelancongan Tempatan (Seksyen Pembangunan dan Destinasi Pelancongan), Syatria berkata, di Kecamatan Lubuk Basung, pelancong yang berkunjung ke Tasik Maninjau didominasi oleh para pelawat dari Malaysia, Singapura, Jerman, Belanda, Britain, Australia, Kanada dan Amerika Syarikat.
“Pelancong asing mengakui, mereka berkunjung ke Tasik Maninjau untuk menikmati keindahan alam semula jadi dan panorama yang mempesonakan,” katanya. Tasik Maninjau terbentuk daripada letusan gunung berapi di Gunung Sitinjau yang berlaku kira-kira 52,000 tahun lalu dan merupakan salah satu destinasi pelancongan utama di Sumatera Barat.
Nilai Islam
Tasik itu terletak kira-kira 140 kilometer (km) di utara bandar Padang, 36km dari Bukittinggi dan 27km dari bandar Lubuk Basung di Agam. “Selain menghayati keindahan Tasik Maninjau, pelancong asing juga boleh melawat Muzium Buya Hamka yang terletak bersebelahan dengan tasik itu,” kata Syatria.


Muzium yang dirasmikan pada 11 November 2001 itu menyimpan pelbagai koleksi gambar, kayu dan beberapa buku hasil karya Hamka. Muzium itu seolah-olah menjadi penjaga untuk mengekalkan nilai-nilai Islam di sekitar Tasik Maninjau. Selain tasik itu, Taman Bunga Rafflesia di mukim Palupuh turut menjadi salah satu lokasi tumpuan para pelancong dari Jepun, Korea Selatan, Belanda dan Perancis. Bunga Rafflesia arnoldii hanya akan kelihatan apabila tunasnya muncul pada kulit kayu dan berkembang menjadi besar.
Ia merupakan spesies tumbuhan berbunga daripada genus parasit Rafflesia yang dikenali sebagai bunga terbesar di dunia dan Pulau Sumatera. Setiap tahun, keindahan alam semula jadi di Sumatera Barat dengan landskap hijau terus menjadi tarikan pelancong tempatan dan asing ke wilayah tersebut.
Wilayah itu juga mempunyai potensi untuk dibangunkan sebagai pelancongan hutan semula jadi seperti di Lembah Anai yang boleh dipromosikan di Sumatera Barat. Rizab Alam Lembah Anai mempunyai hutan tropika tebal yang merupakan rumah kepada pelbagai spesies flora dan fauna selain menjadi salah satu destinasi pelancongan utama di Sumatera Barat.
Di kawasan itu turut terdapat tiga air terjun, sungai dan air tasik berwarna biru serta jernih untuk dinikmati pengunjung. Terletak berdekatan dengan jalan yang menghubungkan bandar Padang dan Bukittinggi, Lembah Anai menjadi destinasi tumpuan utama pelancong di Sumatera Barat.
Sejak era penjajahan Belanda, lembah itu merupakan kawasan pemuliharaan alam yang terbesar dengan keluasan 221 hektar. Justeru, pihak pemerintah tempatan telah meningkatkan infrastruktur tambahan di kawasan berkenaan agar pengunjung dapat melakukan aktiviti sukan pelancongan. Pengunjung yang mengunjungi kawasan itu boleh berenang di sungai atau tasik, mandi-manda air terjun atau melakukan aktiviti pendakian.

Budaya
Menurut pihak pemerintah Sumatera Barat, kerajaan tempatan juga memberi fokus untuk mempromosi dan membangunkan tapak budaya etnik masyarakat Minangkabau yang terkenal di Sumatera Barat. Tapak kebudayaan Minangkabau di kawasan Siguntur Kingdom di daerah Dharmasraya serta desa Minangkabau di Balai Baliki juga memiliki potensi besar untuk menarik kedatangan ramai pelancong tempatan dan asing.
Di samping itu, tarikan pelancongan alam semula jadi di wilayah itu juga masih perlu dibangunkan terutamanya lokasi popular dalam kalangan pelancong. Justeru, tarikan pelancongan lain di rantau itu perlu dijalankan secara bersepadu dengan budaya Minangkabau yang berpotensi menarik pelancong dari seluruh dunia.
Selain itu, promosi dan pengurusan pelancongan di kawasan itu juga perlu terus dioptimumkan untuk mencapai sasaran yang ditetapkan. Gabenor pemerintah wilayah Sumatera Barat berkata, pihaknya komited untuk mempromosikan industri pelancongan serantau menerusi pelbagai usaha.
Sementara itu, Jabatan Pelancongan dan Kebudayaan Sumatera Barat telah mengisytiharkan bandar Bukittinggi meliputi daerah Agam, Tanah Datar, Pasaman dan Pasaman Barat sebagai pusat pembangunan pelancongan di wilayah tersebut. Menurut ketua Jabatan Pelancongan dan Kebudayaan Sumatera Barat, keputusan itu adalah selaras dengan pelan induk pemerintah Indonesia terhadap pembangunan pelancongan serantau di Sumatera Barat.
Sebagai pusat pembangunan pelancongan untuk Sumatera Barat, Bukittinggi akan menampilkan pelbagai tarikan seperti pusat rekreasi, pusat pembangunan saintifik, kemudahan konvensyen, pusat masakan, kemudahan penjagaan kesihatan dan aktiviti luar. Bukittinggi juga akan menjadi pusat promosi pelancongan untuk Agam, Lima Puluh Kota, Tanah Datar dan Pasaman yang menawarkan pelbagai tarikan pelancong semula jadi dan budaya. – Agensi