Thursday, November 14, 2024
24.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Tarikan baharu di Melaka

    Oleh Erda Khursyiah Basir –

    MELAKA – Melaka sememangnya terkenal dengan pelbagai tarikan pelancongan bersejarah yang diiktiraf dunia, warisan budaya dan seni yang berakar umbi sejak ratusan tahun lamanya.

    Selain banyak pilihan lokasi menarik untuk pengunjung dalam dan luar Malaysia, aspek hospitaliti yang ditawarkan turut menggamit pelancong untuk datang ke negeri yang dikenali dengan jolokan Negeri Bersejarah itu.

    Pada 7 Julai 2008, ibu negerinya iaitu Bandaraya Melaka diisytiharkan sebagai Tapak Warisan Dunia oleh Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).

    Luas, selesa, mendamaikan

    Sebuah hotel baharu yang didirikan di Melaka, yang diuruskan oleh Marriott International merupakan antara tarikan terbaharu di negeri itu.

    Terletak di Jalan Haji Bachee, Kampung Bukit China, perjalanan ke hotel itu dari Kuala Lumpur dengan kereta mengambil masa kira-kira dua jam.

    Cafe hotel tersebut merupakan restoran utama hotel ini di samping terdapat bar Lounge 1939 yang namanya diambil bersempena tahun kawasan perumahan yang terletak berhadapan hotel itu dibina. – Gambar Bernama
    Persiaran Jonker yang terletak di Jalan Hang Jebat merupakan syurga bagi pengumpul barang-barang antik dan murah di Bandar Melaka. – Gambar Bernama
    Muzium Warisan Baba dan Nyonya yang cukup cantik dengan perabot dan ukiran unik, ruang luas serta kaya dengan tinggalan barangan sejarah ini asalnya adalah tiga buah rumah teres milik keluarga Chan Cheng Siew pada tahun 1861. – Gambar Bernama
    Pengunjung tidak melepaskan peluang bergambar berlatarbelakangkan bangunan Stadthuys yang dibina sekitar 1650an setelah Belanda mengambil alih Melaka daripada Portugis pada 1641. – Gambar Bernama
    Gambar Bernama

    Penulis dan jurufoto Bernama serta beberapa lagi rakan media baru-baru ini berpeluang menginap di hotel baharu lima bintang itu selama tiga hari dua malam, atas undangan Marriot International.

    Mula dibuka kepada pengunjung pada April tahun ini, hotel itu merupakan hotel ketiga selepas pembukaan sebuah hotel di Penang pada tahun 2018 dan sebuah lagi di Setia Alam pada tahun 2022.

    Selain kolam hiasan pancuran air yang terletak di tepi bangunan hotel yang menarik perhatian penulis, ruang menyambut tetamu hotel ini juga kelihatan unik, luas dan meskipun hiasannya minimalis namun penggunaan sistem pencahayaan ditambah pula dengan cahaya semula jadi dari luar, menjadikannya begitu menarik.

    Tiga buah perabot bangku rotan ‘gergasi’ yang ditempah khas dan diletakkan di ruang lobi untuk kemudahan tetamu ketika menunggu sementara berurusan di kaunter bukan sahaja mempunyai bentuk yang unik dan warna yang menarik, malah membangkitkan kelainan pada suasana lobi hotel.

    Selesai berurusan di kaunter, kami dibawa ke bilik oleh seorang penyambut tetamu yang begitu ramah bercerita mengenai tempat menarik yang boleh dilawati termasuk menu popular yang wajib dicuba apabila datang ke Melaka.

    Antara tempat yang menarik dan terletak tidak jauh dari hotel kami menginap itu ialah perkampungan tradisional Melayu di Kampung Morten, Jonker Walk, Bangunan Stadthuys, Kubu St John’s, Kota A Famosa dan Muzium Warisan Baba dan Nyonya.

    Fasiliti mewah, menu menarik

    Usai berehat seketika, kami kemudian dibawa meninjau ke dewan ballroom yang boleh memuatkan 1,000 orang dalam satu masa, bilik persidangan atau bilik mesyuarat pelbagai saiz serta bilik menunggu VIP yang mengetengahkan konsep moden.

    Selain untuk tujuan kursus, persidangan atau mesyuarat, hotel itu turut menerima tempahan bagi majlis perkahwinan beserta pakej lengkap dan menarik untuk pelbagai tema mengikut permintaan pelanggan.

    Sebaik tiba di bahagian fasiliti hotel yang terletak di tingkat lapan hotel itu, kami teruja apabila melihat ruang rehat dan santai yang dilengkapi kerusi dan meja berkonsepkan atas kolam air dengan rekaan yang begitu eksklusif dan suasana yang mendamaikan.

    Di sini, pengunjung bukan sahaja boleh berehat dan bersantai dengan membaca bahkan menikmati suasana tenang atau healing, dalam bahasa orang muda hari ini, berlatar belakangkan bandar Melaka.

    Selain kolam renang kanak-kanak, terdapat kolam renang dewasa yang berkonsepkan infinity pool dengan air bersih berwarna biru itu dilatari landskap tanaman hijau, ruang berehat yang luas dengan tema perabot berwarna coklat gelap dan putih serta payung besar, pengunjung boleh menikmati pemandangan bandar dan Selat Melaka.

    Beralih pula kepada makanan, cafe hotel tersebut merupakan restoran utama hotel ini di samping terdapat bar Lounge 1939 yang namanya diambil bersempena tahun kawasan perumahan yang terletak berhadapan hotel itu dibina.

    Cafe yang berkonsepkan dapur terbuka bukan sahaja dihiasi dengan dekorasi yang cantik bahkan turut menyajikan menu pelbagai pilihan cita rasa tempatan dan antarabangsa. Di ruang tengah restoran ini dihiasi dengan replika beca roti yang suatu ketika dahulu cukup popular dalam kalangan penduduk tempatan.

    Dengan hidangan menu bufet dan ala carte, pengunjung boleh memilih untuk menikmati hidangan di meja dua kerusi bagi mereka yang mahukan privasi atau memilih untuk duduk di meja yang lebih besar bagi yang berkeluarga yang terletak in-door atau berkonsepkan al-fresco dengan pencahayaan semula jadi dan suasana santai sambil menikmati angin sepoi-sepoi bahasa di luar restoran.

    Restoran ini boleh memuatkan kira-kira 250 pengunjung dalam satu masa selain turut mempunyai ruang makan peribadi yang boleh memuatkan 14 orang.

    Kami berkesempatan bersarapan pagi dan makan malam secara bufet di cafe hotel berkenaan sekali gus merasai pengalaman gastronomi, menikmati pelbagai hidangan, antaranya sate sekaki daging yang saiznya lebih panjang berbanding sate biasa, cucur bilis cencaluk (cencaluk sejenis makanan popular di Melaka yang dibuat daripada udang geragau yang diasinkan dalam air garam dan diawet untuk satu tempoh masa), sambal sotong kering bersama kacang tumbuk, rosted leg of lamb with lyonnaise potato dan seared chicken ballotine with mushroom and english herbs.

    Selain itu menu nasi dengan pelbagai lauk-pauk, bihun dan mi sup, bubur, makanan laut seperti tiram dan udang serta perahan lemon, pelbagai jenis buah-buahan, sayur-sayuran dan pencuci mulut dengan pelbagai jenis kek, ais krim termasuk air batu campur turut disajikan. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda