Oleh Kurniawati Kamarudin
BETONG, THAILAND – Ketika banyak kawasan di wilayah Selatan Thailand berhadapan insiden pengeboman, Betong yang bersempadan Malaysia di Pengkalan Hulu, Gerik masih bernasib baik. Ini kerana sejak 2016 hingga tahun ini Betong masih lagi bebas daripada sebarang insiden yang tidak diingini. Ini menjadikan Betong, kawasan paling selatan di Thailand lokasi paling selamat berbanding tempat lain di wilayah yang majoriti penduduknya beragama Islam.
Pastinya ada yang bertanya apa yang menarik di Betong? Mungkin, kepada yang pernah sampai ke sini, Betong tidak lebih daripada sebuah pekan kecil yang sunyi jika dibandingkan kemeriahan di Hatyai mahupun Danok yang bersempadan Malaysia di Bukit Kayu Hitam yang sentiasa menerima ribuan pelancong setiap hari.
Penulis yang belum pernah sampai ke Betong turut mempunyai tanggapan yang sama pada awalnya. Berpeluang menjejakkan kaki ke Selatan Thailand termasuk Betong dalam program anjuran Persatuan Media Untuk Keamanan Selatan Thailand (SPMC) dan Persatuan Media Selatan Thailand baru-baru ini mengubah pandangan penulis terhadap Betong.
Seperti permata yang tersembunyi, banyak khazanah alam yang menjadikan Betong berbeza dengan tempat lain di selatan negara Gajah Putih ini.
Betong dan kabus
Kelancaran di pintu sempadan Malaysia/Thailand memudahkan proses kemasukan ke Betong yang dahulunya cukup sinonim sebagai kubu kuat Parti Komunis Malaya (PKM). Dikelilingi hutan menghijau antara sebab kawasan di sini lebih sejuk berbanding tempat lain di Selatan Thailand. Bagi pencinta alam, Betong adalah tempatnya.


Tidak hairan jika Betong turut dikenali sebagai bandar dalam kabus kerana kelembapan udara yang terdapat di sini. Melihat dengan lebih jelas fenomena kabus pagi di Betong membawa penulis bersama 26 wakil media Malaysia ke puncak bukit Airyerweng yang mengambil masa antara 45 minit hingga satu jam dari pekan Betong.
Meredah kedinginan, kami sampai di puncak setinggi 2,008 kaki sekitar pukul 5 pagi ketika hari masih gelap. Keterujaan sudah dirasakan ketika berdiri di pelantar tinjau sambil menanti matahari memunculkan diri untuk melihat sendiri rupa lautan kabus yang diperkatakan.
Lautan kabus putih seluas mata memandang, itulah yang dapat digambarkan. Proses yang terbentuk hasil peluwapan yang menukarkan wap kepada titisan air menutupi kehijauan hutan yang melatari puncak bukit Airyerweng.
Ia boleh disaksikan dengan jelas pukul 6 pagi dan akan hilang ketika matahari mula meninggi sekitar jam 9 pagi. Kerana itu pelancong yang ingin melihat pemandangan indah itu perlu sampai awal pagi agar tidak terlepas.
Kami mendapat rezeki daripada ciptaan tuhan yang menjadikan kabus ini, menurut Saari Yaakob, Penolong Ketua Pejabat Pentadbiran Mukim Airyerweng. Sebagai mukim terbesar dengan keluasan 818 kaki persegi, Airyerweng dijaga secara bersama oleh penduduk yang mendiami 11 kampung di mukim ini.
Puncak bukit Airyerweng ini ditemui 30 tahun yang lepas oleh pekerja syarikat pencawang komunikasi yang sampai ke sini. “Dari hari ke hari tempat ini dikunjungi hingga sekarang menjadi tarikan utama di Betong untuk melihat lautan kabus ciptaan tuhan,” katanya. Beliau berkata tidak hanya melihat kabus, di Airyerweng sendiri terdapat 30 aktiviti dan tempat yang boleh dikunjungi pelancong antaranya hutan Halabala, Air Terjun Pelangi dan Jeram Sungai Pattani.
Pembangunan
Kemudahan yang sangat minimum di puncak bukit Airyerweng antara kekangan utama untuk menerima kedatangan pelancong dalam jumlah yang ramai.
Tempat letak kenderaan yang sangat terhad, jalan untuk ke puncak juga sempit dan tidak sempurna selain hanya mempunyai kemudahan sebuah surau kecil dan tandas.
Dalam rancangan pembangunan segi tiga ekonomi yang sedang dibangunkan di Selatan Thailand melibatkan tiga wilayah iaitu Yala, Narathiwat dan Pattani, Betong yang terletak di bawah Wilayah Yala turut mendapat perhatian khusus dalam pembangunan itu terutama dalam usaha menarik jumlah kedatangan pelancong.
Airyerweng menjadi fokus utama dengan pembinaan ‘skywalk’ yang akan dimulakan pada hujung tahun ini. Projek serba moden ini dijangka menelan belanja 98 juta baht yang akan membolehkan pelancong melihat lautan kabus dan panorama indah sekitar bukit Airyerweng dengan lebih jelas melalui ruang pejalan kaki dan ruang tinjau yang dibina.
Menurut Saari, kemudahan prasarana yang lengkap akan turut disediakan antaranya jalan yang lebih besar untuk ke sana, tempat letak kenderaan yang lebih tersusun, kedai makan dan jualan cenderahati.
Selain itu, sebuah replika perahu besar yang mengambil kisah Nabi Nuh akan turut dibina bersama sebuah surau yang lebih luas yang bakal menjadi surau di kawasan paling tinggi di Thailand. “Apabila siap sepenuhnya nanti kedatangan pelancong akan dihadkan bagi memeilihara tempat ini dengan hanya menerima 4,000 pelancong satu hari,” katanya projek itu dijangka siap sepenuhnya pada 2019.

Lapangan Terbang Betong
Limpahan ekonomi dengan berencanakan aktiviti pelancongan akan dapat dilihat hasilnya apabila pembinaan Lapangan Terbang Betong siap sepenuhnya juga pada 2019.
Lapangan terbang domestik itu mempunyai landasan sepanjang 1.8 kilometer, apron dan terminal lapangan terbang yang dibina di atas tanah seluas 2,475 hektar.
Diberi peluang melihat secara dekat projek itu, rombongan media dibawa ke tapak pembinaan dan diberi taklimat mengenai perkembangannya yang kini mencapai kemajuan sebanyak 24 peratus.
Jurutera Projek, Winit Suwankong berkata projek yang dimulakan 29 Oktober 2016 yang menelan belanja 1.3 bilion baht hanya akan menerima pesawat kecil yang berkapasiti 50 hingga 70 tempat duduk dengan tiga penerbangan setiap hari.
“Ini akan memudahkan orang di Pattani, Narathiwat, Hatyai mahupun di Bangkok datang ke Betong yang selama ini hanya menggunakan jalan darat,” katanya.
Dari Hatyai ke Betong menggunakan jalan darat akan mengambil masa kira-kira enam jam perjalanan. Pembinaan lapangan terbang baru ini juga akan membantu menaiktarafkan jalan raya dari Betong ke Yala bagi memudahkan perjalanan darat yang menghubungkan kesemua wilayah selatan Thailand, katanya.
Ketika ini jalan darat yang menghubungkan dari Betong ke Yala sepanjang 120 kilometer hanya mempunyai dua lorong dan perlu melalui selekoh tajam lebih kurang 50 kilometer yang menyebabkan tempoh perjalanan agak panjang sekitar tiga jam. “Perancangannya untuk menaiktaraf jalan tersebut dengan melebarkannya kepada empat lorong yang akan membantu mempercepatkan lagi perjalanan,” katanya.
Tingkat sektor pelancongan
Mahu dikenali sebagai destinasi yang kaya dengan alam sekitar, Betong menyasarkan peningkatan jumlah pelancong kepada 1.2 juta pada tahun ini, menurut Ketua Daerah Betong, Damrong Deesakun.
Beliau berkata tiga tahun lepas jumlah pelancong yang datang ke Betong sekitar 400,000 namun meningkat kepada 700,000 pada tahun lepas. “Ini dibantu faktor keselamatan apabila Betong tidak mengalami sebarang insiden letupan sejak tahun lepas,” katanya.
Kejayaan ini dicapai hasil kerjasama bersepadu semua pihak termasuk penduduk setempat. Katanya selain kawalan ketat dan efektif daripada pasukan keselamatan seperti polis dan tentera, masyarakat setempat turut menawarkan diri menjadi sukarelawan untuk menjadi mata dan telinga bersama-sama menjaga keselamatan di sini.
“Komuniti di Betong bersama-sama membantu polis dan tentera dengan menyertai pasukan sukarela untuk menjaga kawasan Betong daripada dicerobohi.”
“Selain itu promosi tempat-tempat tarikan baharu antaranya gua zaman komunis, taman bunga musim sejuk, telaga air panas selain lautan kabus di Airyerweng dijangka membantu mencapai sasaran itu,” katanya. – Bernama