Friday, February 7, 2025
27 C
Brunei

    Berita Terkini

    Tarikan gabungan seni enamel Cina, Perancis

    Pameran seni enamel ‘Shining Moments in Life’ merupakan pameran seni enamel kontemporari yang diadakan di Alliance Francaise (Guangcai Center), Beijing, China baru-baru ini.

    Ia mempamerkan seni enamel yang merupakan serbuk kaca khas digunakan untuk membuat barang kemas dan perhiasan, direka oleh tujuh karyawan dari China dan dua dari Perancis.

    Enamel boleh disaring secara langsung atau digiling dan dicuci, kemudian disapukan ke permukaan logam dan dipanaskan dalam tanur pada suhu antara 700 hingga 800 darjah Celsius. Ia kemudian akan meleleh dan melekat pada logam, menghasilkan barang kemas dan perhiasan yang menakjubkan.

    Dipercayai bahawa warna enamel awal dicipta untuk meniru batu permata tertentu. Karya enamel yang tertua dikenali berasal dari abad ke-13 sebelum masihi, ketika tukang emas Mycenaean menanam enamel pada cincin emas.

    “Enamel vitreous merupakan seni yang sangat tinggi permintaannya, menggabungkan sains dan seni, memerlukan ketelitian terhadap butiran dan kesabaran yang jitu,” kata Zheng Chun, yang bersama Wei Yun, seorang lagi karyawan yang turut serta dalam pameran itu, menjadi penyelaras pameran.

    A Buried Bee, karya oleh Nie Jinghui. – Gambar ANN/China Daily
    Karya enam oleh Wei Yun, kurator bersama The Shining Moments in Life. – Gambar ANN/China Daily
    Pin rambut Jean Marc Waszack dan Wang Xiaojia yang dibuat daripada teknik plique-a-jour yang terkenal dengan kesan kaca miniatur berwarna. – Gambar ANN/China Daily
    Jam daripada enamel miniatur ciptaan Wang Yuan dan Nie Jinghui. – Gambar ANN/China Daily
    Kerja-kerja karyawan enamel dan jauhari, Jean Francois Dehays pada pameran itu. – Gambar ANN/China Daily
    Gambar ANN/China Daily
    Gambar ANN/China Daily

    “Namun, seni ini juga satu keajaiban. Setelah terpesona, penghasil enamel boleh menghabiskan berjam-jam atau berhari-hari di studio mereka untuk mencipta satu karya,” tambahnya.

    Pameran ini menjadi kenyataan selepas bengkel enamel yang diadakan oleh Jean Francois Dehays, seorang karyawan enamel dan pembuat perhiasan Perancis, 10 tahun yang lalu di Beijing. Semua karyawan Cina yang mengambil bahagian dalam pameran ini telah dilatih olehnya, menurut Li Jin, seorang wartawan seni bebas yang mengurus blog CCARTWALK berplatform di WeChat.

    Jingtailan adalah sejenis enamel yang popular di China iaitu teknik cloisonne. Teknik ini melibatkan pelekatan jalur logam nipis pada permukaan logam yang telah dilukis terlebih dahulu, mencipta beberapa bahagian kecil yang dikenali sebagai sel. Serbuk kaca berwarna halus dicampur dengan air dan diletakkan dalam setiap sel. Kemudian, kepingan tersebut dipanaskan, mengubah serbuk kaca menjadi enamel dan melekat pada logam.

    Karya seni dengan teknik cloisonne dalam pameran ini kebanyakannya dibuat oleh Wang Yuan, Su Jia, dan Chen Wen. Karya ‘Mom Is Not Home II’ yang dihasilkan bersama oleh Wang, Su, Wei dan Nie Jinghui menggunakan teknik cloisonne dan berjaya menarik perhatian ramai.

    Dalam bingkai album, terdapat empat set televisyen cetakan 3D, dan pada skrinnya terdapat watak kartun seperti Nezha, Raja Monyet dan Telur Kecil, yang merupakan watak-watak kartun kegemaran karyawan-karyawan tersebut semasa kanak-kanak.

    Pengunjung pameran juga dapat melihat karya dengan teknik champleve, teknik enamel yang lain. Untuk membuat karya champleve, karyawan biasanya mengukir atau menoreh permukaan logam untuk mencipta imej yang diinginkan. Enamel kemudian diletakkan dalam ceruk tersebut dan dipanaskan.

    Plique-a-jour juga merupakan teknik enamel yang ditonjolkan dalam pameran ini, diwakili oleh jepit rambut yang dibuat oleh karyawan perhiasan kontemporari Jean-Marc Waszack dan Wang Xiaojia, pengasas L’Atelier Studio di Beijing. Jepit rambut ini terbuat dari titanium dan mempunyai hiasan enamel lut sinar berlapis-lapis yang memberikan kesan seperti kaca patri miniatur, yang menjadi hasil yang diinginkan dalam plique-a-jour. Teknik ini hampir sama dengan dengan cloisonne, tetapi tanpa penyokong pada produk akhir sehingga cahaya dapat menerangi enamel yang lut sinar atau keruh.

    Pameran yang berakhir Julai lalu telah mendapat sambutan menggalakkan daripada orang ramai yang ingin mengenali kraf daripada enamel. – ANN/China Daily

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda