Oleh Kurniawati Kamarudin
KAJANG – Sejak sekian lama, Kajang dikenali sebagai bandar untuk menikmati sate paling enak di Malaysia. Biasanya, orang luar yang datang ke sini semata-mata ingin menikmati pelbagai hidangan sate yang mula diperkenalkan oleh masyarakat Jawa di daerah ini, sejak awal kurun ke-20.
Walaupun terkenal dan sinonim dengan sate, ramai yang menganggap bandar Kajang sebagai sebuah bandar ‘mati’ yang tiada tarikan pelancong. Keadaan diburukan lagi dengan masalah kesesakan di beberapa jalan utama di kawasan bandar yang menyebabkan ramai pemandu seboleh-bolehnya cuba mengelak daripada memasuki bandar Kajang.
Kajang Heritage Walk
Namun, di sebalik isu tersebut, terdapat sisi lain tersembunyi serta menarik mengenai bandar Kajang yang ramai tidak tahu. Misalnya, sejarah dan warisan bandar Kajang yang berusia lebih 200 tahun itu, menjadi antara kekuatan yang dapat dimanfaatkan bandar lama dalam daerah Hulu Langat, Selangor ini untuk menarik pelancong.
Melalui kerjasama Tourism Selangor, Pusat Warisan Kajang dan Majlis Perbandaran Kajang, inisiatif digembleng bagi membentuk imej Kajang sebagai destinasi pelancongan menarik di Selangor melalui program Kajang Heritage Walk.
Laluan Heritage Walk yang dilancarkan pada 2017, memberi fokus kepada tujuh lokasi menarik untuk disinggahi antaranya Pusat Warisan Kajang, tokong Shen Sze She Yar, kedai biskut klasik, kedai besi, pejabat Pos Lama Kajang, Masjid Jamek Kajang dan Restoran Sate Hj Samuri. Pusat Warisan Kajang menyimpan lebih 300 koleksi artifak, alatan dan dokumen sejarah Kajang mula beroperasi sejak tahun 2000.




Pusat ini dibuka secara percuma pada setiap Sabtu dari jam 10 pagi hingga 5 petang atau pada hari biasa melalui tempahan.
Khidmat lawatan berpandu ke sekita bandar Kajang turut disediakan dengan bayaran RM30 bagi dewasa dan RM15 bagi warga emas serta pelajar untuk tempoh kira-kira tiga jam.
Warisan sejarah Kajang
Seterusnya, jika anda berjalan menelusuri Jalan Mendaling, Jalan Tengah, Jalan Besar dan Jalan Tukang yang dahulunya dikenali sebagai pekan lama Kajang, anda akan melihat warisan dan nilai-nilai sejarah terutama pada bangunan-bangunan lama yang masih kekal hingga hari ini.
Kemudian jangan lepaskan peluang menjengah ke tokong tertua berusia lebih 120 tahun, iaitu tokong Shen Sze She Yar yang dihiasi ukiran batu kapur unik menyerupai arca naga dari zaman pemerintahan Maharaja China.
Tidak jauh dari tokong tersebut, terletak kedai-kedai biskut berusia lebih 100 tahun. Salah sebuah kedai klasik itu, diwarisi generasi kedua keluarga Siew Poh Chang, 88 tahun yang menjual lebih 400 jenis biskut yang diimport dari Thailand dan kilang biskut seluruh negara.
Turut menjadi warisan penting bandar Kajang yang masih kekal hingga ke hari ini ialah kedai membuat besi yang sudah beroperasi sejak berpuluh-puluh tahun dahulu.
Melengkapkan jejak laluan warisan kajang ini, anda juga boleh singgah di Pejabat Pos lama bandar Kajang berusia 105 tahun (dibina pada 1914) dan Masjid Jamek Kajang yang terletak tidak jauh dari situ. Sebelum menamatkan perjalanan Kajang Heritage Walk anda, singgahlah dahulu di Restoran Sate Kajang Hj Samuri, terletak bersebelahan Stadium Kajang dan berhadapan stesen MRT Stadium.
Pengkaji sejarah
Jejak dan pengumpulan sejarah Kajang secara tersusun ini telah diusahakan Pengarah Pusat Warisan Kajang iaitu Lee Kim Sim atau lebih dikenali sebagai Cikgu Lee.
Beliau menjadi tulang belakang yang mengetengahkan sejarah bandar Kajang untuk dikenali dan dimasukkan dalam aktiviti pelancongan di Selangor. Figura Cikgu Lee anak kelahiran Kedah ini sememangnya cukup sinonim dengan masyarakat Kajang. Pernah dilantik menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kajang selama satu penggal dari tahun 2008 hingga 2013.
Menurut bekas guru Sains dan Biologi Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (C) Yu Hua, Kajang ini, beliau sangat berminat dengan sejarah Hulu Langat khusunya bandar Kajang setelah berhenti menjadi guru pada tahun 1996.
“Pada tahun 1999, saya cadangkan kepada Persekutuan Persatuan Tionghua Kajang untuk menubuhkan pusat warisan ini dan cadangan itu dipersetujui dan kekal hingga ke hari ini,” katanya yang mula menjadi pendidik pada tahun 1986.
Idea penubuhan pusat warisan itu tercetus apabila beliau melihat ramai warga emas yang tahu tentang asal usul dan sejarah Kajang telah meninggal dunia sehingga menyebabkan banyak barang peninggalan sejarah yang disimpan mereka hilang atau pupus.
Ketika itu, walaupun ada maklumat tentang sejarah Kajang melalui penulisan orang-orang lama tetapi maklumat itu tidak tersusun, kata Lee.
Berkat kegigihan, bapa kepada empat anak itu kemudiannya membuat kajian di Arkib Negara Malaysia dan pergi sendiri ke kampung-kampung bagi mengumpul gambar, dokumen dan menemu ramah orang-orang tua di seluruh kawasan Hulu Langat.
“Ketika proses pengumpulan inilah, ada yang berikan alat-alatan serta barang-barang lama seperti cawan susu getah buatan porselin, ada juga yang berikan gambar dan macam-macam lagi hingga penuh pusat warisan ini dengan barangan bersejarah untuk dijadikan artifak pameran,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.
Antara artifak menarik di pusat warisan ini berupa plak berusia lebih 100 tahun sumbangan seorang bangsawan yang dikatakan berasal daripada warisan Dinasti Qing, dulang melombong bijih timah yang pernah digunakan pelombong-pelombong bijih di sekitar Kajang dan pelbagai barangan lama. – Bernama