Oleh Raz AS –
Meski memelihara ikan-ikan hiasan kecil di dalam akuarium terus mendapat sambutan namun tidak dinafikan ikan-ikan hiasan bersaiz sederhana dan besar mempunyai tarikan dan peminatnya sendiri.
Walau bagaimanapun, perlu diingat bahawa disebabkan penjagaannya yang lebih rumit berbanding ikan-ikan kecil, memelihara ikan-ikan hiasan besar hanya sesuai dilakukan oleh penghobi yang sudah mempunyai pengalaman dan pengetahuan yang secukupnya.
Kadang-kadang disebabkan kurangnya pengetahuan tentang spesies ikan, ikan kecil yang kelihatan cantik yang dibeli dari kedai-kedai akuarium rupanya boleh membesar melebihi saiz tapak tangan orang dewasa atau lebih.
Natijahnya, si penghobi terpaksa mengeluarkan belanja lebih untuk menyediakan tempat tinggal baharu. Atau ikan tersebut tidak dapat hidup panjang disebabkan tempat tinggal yang tidak sesuai.
Yang lebih parah lagi ada sebilangan penghobi tidak bertanggungjawab melepaskan ikan tersebut ke alam liar yang boleh membawa risiko kerosakan ekosistem tempatan.
Antara ikan-ikan bersaiz sederhana dan besar yang terkenal menjadi pilihan ramai adalah seperti:
1. IKAN EMAS
Banyak kekeliruan timbul dalam kalangan penghobi baharu tentang ikan emas. Disebabkan ia selalu digambarkan di kaca televisyen, filem dan media lain tinggal di dalam balang atau mangkuk kaca tetapi sebenarnya ikan emas memerlukan penjagaan yang rapi dan tempat tinggal yang jauh lebih besar.
Ikan tropika hiasan yang terkenal ini, mengikut spesies, boleh membesar sehingga kira-kira 8 inci ke 18 inci panjang, dan disebabkan ia menghasilkan banyak bahan buangan, ia memerlukan sistem penapisan terbaik yang mampu menampung keperluan tersebut.
Seekor ikan emas sahaja memerlukan saiz akuarium sekurang-kurangnya 20 gelen isi padu atau bersamaan dengan 2.5 kaki panjang.
2. PLECO
Pleco atau lebih tepat lagi common pleco, atau lebih dikenali sebagai suckerfish biasa ditemui di dalam kebanyakan akuarium kerana ia dianggap sebagai ‘pembersih’ alga dan lumut yang ada pada dinding akuarium.
Tanggapan salah ini timbul kerana pleco bersaiz juvenil banyak dijual di kedai-kedai akuarium dan kadang-kadang si penjual memasarkannya kepada orang ramai sebagai spesies ikan yang mampu mengatasi masalah alga dan lumut dalam akuarium. Ini boleh menarik minat penghobi baharu yang enggan meluangkan masa melakukan rutin pembersihan akuarium mereka.
Walau bagaimanapun, sebenarnya ikan ini boleh membesar sehingga mencecah 24 inci atau 2 kaki panjang. Oleh yang demikian, seekor ikan common pleco perlulah ditempatkan di dalam akuarium bersaiz sekurang-kurangnya 150 gelen isi padu atau bersamaan dengan 5 kaki panjang.
3. BALA SHARK
Berwarna keperakan dengan bentuk badan seakan torpedo, ikan yang mampu berenang dengan pantas ini mudah didapati di kedai-kedai akuarium dan selalu disalah anggap datang daripada keluarga atau spesies yang sama dengan ikan seluang, lebih-lebih lagi ia dijual ketika saiznya lebih kurang besar jari telunjuk sahaja.
Meskipun begitu, sebenarnya ikan ini boleh membesar sehingga 1 kaki panjang. Seekor ikan bala fish dewasa perlu ditempatkan di dalam akuarium 50 gelen atau kira-kira 4 kaki panjang.
Tetapi masalahnya ikan ini lebih suka hidup dalam kawanan, sekurang-kurangnya dalam kumpulan sebanyak enam ekor.
Oleh itu, bagi penghobi yang ingin memeliharanya perlu menyediakan tempat tinggal sekurang-kurangnyanya 300 gelen air atau tidak kurang daripada 6 kaki panjang bagi satu kawanan.
4. TINFOIL BARB
Salah satu daripada spesies lampam, atau juga dikenali sebagai lampam sungai, tinfoil barb mempunyai warna sirip merah menjadikannya lebih menyerlah berbanding lampam biasa. Sama seperti bala shark, ikan ini suka hidup dalam kawanan dan boleh membesar sehingga 1 kaki panjang, oleh yang demikian ia memerlukan tempat tinggal yang sama saiz dengan bala shark.
5. AROWANA
Dianggap sebagai salah satu ikan hiasan paling berharga dalam dunia ikan hiasan, ikan mewah yang mendapat julukan nama sebagai dragonfish ini hanya sesuai dipelihara oleh penghobi yang sudah pakar dalam penjagaan ikan.
Ikan arowana mempunyai sifat yang agresif, oleh itu adalah sebaik-baiknya ditempatkan di dalam akuarium sekurang-kurangnya 6 kaki panjang.
Tambahan lagi ikan ini sangat sensitif dengan keadaan sekelilingnya, oleh itu akuarium tersebut perlu ditempatkan di bahagian rumah yang terlindung daripada bunyi bising dan tidak menerima kehadiran ramai tetamu.