YALA – Sambil menjamu ‘kuey chap ayam’ (sup kuey teow ayam) dan menikmati hembusan angin, desiran air sungai yang dingin berlatar belakang suasana menghijau, merupakan satu lagi tarikan pelancong di Iyerweng, Betong, Yala, selatan Thailand.
Pengalaman menjamu selera di Warung Kuey Chap Ayam yang berkonsep santai itu kini mendapat sambutan hangat dalam kalangan pelancong di dalam dan luar negara, khususnya kalangan rakyat Malaysia dan Singapura.
Pemilik restoran itu, Rahayu Salang berkata idea itu tercetus apabila melihat ramai pelancong dalam dan luar negara suka mengunjungi Daerah Betong sempena cuti persekolahan.
Lebih dikenali sebagai Kak Yu, wanita itu berkata beliau menggunakan keindahan di Sungai Pattani untuk menawarkan pengalaman menjamu selera yang unik di sungai itu.
“Ramai pelancong sering mencari lokasi makan yang unik setiap kali berkunjung ke Betong, Yala. Maka, tercetus idea untuk menawarkan pengalaman yang menyeronokkan kepada para pengunjung ke warung ini sambil menikmati juadah kami.
“Walaupun suhu di sini kadangkala mencecah 36 darjah Celsius, namun warung ini sentiasa penuh dengan pengunjung,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.
Rahayu menegaskan bahawa makanan tidak halal dan air beralkohol adalah dilarang di warung tersebut.
Sementara itu, Azlan Dollah dari Malaysia yang pertama kali berkunjung ke warung tersebut berkata ia merupakan satu pengalaman yang mengujakan untuk menjamu selera di warung atas air itu.
“Walaupun cuaca panas namun kami tetap menikmati kelazatan makanan dan kesejukan air sungai,” katanya.
Warung yang beroperasi selama dua tahun itu dibuka setiap hari dari 10 pagi hingga 5 petang (waktu tempatan).
Untuk memastikan lokasi warung itu sentiasa bersih, Rahayu akan membersihkan kawasan itu setiap hari tanpa meninggalkan sebarang sisa makanan yang akan mencemarkan air sungai itu.
“Ini tempat saya mencari rezeki dan ini adalah tanggungjawab saya untuk memastikan kawasan ini sentiasa bersih,” katanya. – Bernama