BANDAR SERI BEGAWAN, 31 Okt – Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) melalui Bahagian Kawalan Makanan Halal, Jabatan Hal Ehwal Syariah ingin mengingatkan para pengusaha makanan di negara ini terutama mereka yang belum menghadapkan permohonan Sijil Halal atau Permit Halal supaya mengadapkan permohonan mereka sebelum tempoh peralihan tamat pada 26 November ini.
Sehubungan dengan itu, dijelaskan bahawa para pengusaha makanan yang beroperasi sebelum 26 Mei 2017 hendaklah memohon Sijil Halal atau Permit Halal sebelum 26 November ini.
Bagi pengusaha makanan yang beroperasi pada atau selepas 26 Mei 2017, mereka hendaklah memohon Sijil Halal atau Permit Halal dalam masa enam bulan dari tarikh perniagaan mereka mula beroperasi.
Borang permohonan Sijil Halal atau Permit Halal (Borang E) boleh diperoleh di Kaunter Permohonan Bahagian Kawalan Makanan Halal di keempat-empat daerah dan boleh juga dimuat turun dari laman sesawang rasmi KHEU www.kheu.gov.bn.
Borang yang lengkap serta dokumen yang diperlukan hendaklah dihadapkan ke Pejabat Bahagian Kawalan Makanan Halal di daerah berkenaan. Untuk maklumat lanjut sila layari www. kheu.gov.bn.