Oleh Mohamad Asyramisyanie
BANDAR SERI BEGAWAN, 28 Mei – Sudah menjadi tradisinya memeriahkan kedatangan bulan Ramadan dengan menawarkan promosi bufet kepada para pelanggannya yang hendak berbuka puasa di Restoran Tarindak D’Polo, Royal Brunei Polo & Riding Club, Jerudong.
Tinjauan Media Permata ke premis tersebut pada hari pertama umat Islam berbuka puasa, mendapati kehadiran ramai pelanggan bersama ahli keluarga mereka memenuhi setiap tempat duduk di ruang restoran berkenaan.
Seperti lazimnya, antara juadah yang disediakan adalah barisan makan utama yang terdiri daripada masakan lauk-pauk, sayur-sayuran, juadah pembuka selera sehingga pencuci mulut yang pastinya akan memenuhi cita rasa para pelanggan yang datang berbuka puasa di sana.


Sementara itu, Cef Sos Eksekutif Tarindak D’Polo, Cef Zaliya Apindi Abu Bakar ketika ditemui di sana, berkata, bufet sungkai mereka tahun ini menampilkan sesuatu yang berlainan dari tahun sebelumnya iaitu dengan mengetengahkan sudut masakan langsung bagi menjamin kesegaran dan makanan berkualiti yang mengikut cita rasa pelanggan tidak mengira peringkat umur.
Selain itu, katanya, mereka juga menampilkan menu-menu yang lebih menarik, pelbagai dan memastikan persekitaran tempat menjamu selera serta susunan tempat makan lebih selesa, malah menyediakan kemudahan tempat solat bagi memudahkan para pelanggan menunaikan ibadah di bulan suci ini.