BANDAR SERI BEGAWAN – National Digital Payments Network Sdn Bhd (ndpx), sebuah entiti yang telah diluluskan oleh Brunei Darussalam Central Bank (BDCB) untuk mengendalikan sistem pembayaran, hari ini, mengumumkan pelancaran rasmi bagi ‘tarus’, sistem pembayaran segera yang pertama di Negara Brunei Darussalam.
Selaras dengan Wawasan 2035, Pelan Induk Ekonomi Digital 2025 dan Pelan Hala Tuju Pembayaran Digital BDCB 2019-2025, tarus membolehkan setiap individu untuk memindahkan dana secara serta-merta, di dalam masa 24/7, dengan hanya menggunakan pengenalan identiti yang mudah seperti nombor telefon.
Selain kelajuan proses tersebut, tarus juga mengutamakan standard kerahsiaan, integriti, dan ketersediaan yang tertinggi.
Apakah tarus?
tarus adalah sebuah sistem pembayaran segera bagi Negara Brunei Darussalam. Ia beroperasi sebagai infrastruktur back-end bagi membolehkan pemindahan dana segera di antara para bank dan e-wallet yang menyertai inisiatif ini.
Pada masa ini, kebanyakan pengguna tempatan membuat pemindahan wang melalui bank atau e-wallet yang sama.
Walaupun pemindahan wang antara bank boleh dilakukan, ia bergantung kepada sistem yang sedia ada seperti Real-Time Gross Settlement (“RTGS”) yang direka khusus bagi pembayaran berjumlah besar.
Sebaliknya, tarus dibangunkan untuk transaksi harian, membolehkan pemindahan dana yang lancar, selamat, dan serta-merta, di mana ianya akan meningkatkan kemudahan dan ketersambungan kewangan di seluruh negara.
Bagaimanakah tarus boleh digunakan sekarang?
Pada fasa awal pelancaran, tarus memperkenalkan pemindahan dana segera menggunakan nombor telefon. Para pengguna boleh menghubungkan akaun bank ataupun e-wallet kepada nombor telefon, dan menghantar atau menerima wang dengan hanya beberapa ketikan melalui platform berikut:
- BEEP Solutions Sdn Bhd (melalui Beep Solutions);
- BIBD At-Tamwil Sdn Bhd (melalui Olive);
- Datastream Digital Sdn Bhd (melalui MyDST);
- Perbadanan Tabung Amanah Islam Brunei (melalui TAIBVX);
- dan Progresif Sdn Bhd (melalui Ding!).
Dengan adanya akses kepada dana yang lebih meluas dan dengan adanya pergerakan wang yang lebih lancar, para pengguna boleh memanfaatkan perkhidmatan yang bertambah nilai dari platform-platform di atas, seperti membayar bil, membuat pembelian atau menghantar wang kepada keluarga mahupun rakan di dalam negara.
Apa yang akan datang bagi tarus?
Rangkaian tarus akan berkembang dengan lanjut, dengan lebih ramai peserta yang bakal menyertainya pada fasa seterusnya terutamanya, Bank Baiduri Sdn Bhd (Baiduri), Bank Islam Brunei Darussalam Berhad (BIBD) dan ThreeG Media Sdn Bhd (melalui Pocket) merupakan para peserta yang dijangka, dan ia diharapkan akan mengukuhkan lagi jangkauan dan impak rangkaian.
Fasa-fasa yang selanjutnya juga akan memperkenalkan ciri-ciri yang baharu seperti tarusQR iaitu Standard Kod QR Nasional untuk Pembayaran, untuk membolehkan pembayaran QR beroperasi secara rentas di antara bank dan e-wallet, ciri request-to-pay akan diperkenalkan untuk membolehkan penerima bayaran menghantar permintaan pembayaran terus kepada pembayar, dan lain-lain.
Selain itu, ndpx sedang meneroka beberapa inisiatif dengan negara serantau untuk membolehkan transaksi rentas sempadan yang lancar, yang mana membolehkan pengguna Brunei membuat pembayaran di negara jiran dan sebaliknya menggunakan aplikasi bank dan e-wallet yang tersedia.
Sebagai sebahagian daripada usaha untuk memajukan pembayaran digital di Negara Brunei Darussalam, ndpx sangat mengalu-alukan lebih banyak peserta untuk menyertai rangkaian tarus. Untuk maklumat lanjut, sila layari http://tarus.com.bn.