SUCHITOTO, EL SALVADOR – Perairan Tasik Suchitlan di El Salvador biasanya sibuk dengan nelayan dan pelancong tetapi pada tahun ini, awda tidak akan dipersalahkan kerana menganggap ia bukan tasik sama sekali.
Tanah lembap, yang terkenal dengan biodiversitinya, telah dilitupi oleh tumbuhan terapung yang menjadi sumber pencemaran kimia, hampir menutupi seluruh permukaannya dan menjadikannya kelihatan seperti padang hijau muda yang subur.
Dikelilingi perairan Sungai Lempa yang besar, Suchitlan ialah tasik buatan seluas 13,500 hektar yang dibina sekitar 1976, dan membekalkan stesen jana kuasa hidroelektrik Cerron Grande.
Penyebaran besar-besaran stratiotes Pistia, biasanya dikenali sebagai kiambang, telah melumpuhkan pelancongan tempatan dan industri penangkapan ikan, meninggalkan ahli bot tanpa pendapatan dan restoran di pantai kosong.
“Sebenarnya (tumbuhan) itu telah menjejaskan kami setiap tahun, tetapi kini ia telah melampaui batas. Hari ini ia dilitupi sepenuhnya,” kata Julia Alvarez, seorang pengendali bot berusia 52 tahun kepada AFP.






Takungan ini menjadi rumah kepada kepelbagaian biologi yang kaya dengan burung yang berhijrah di pulau-pulaunya, tetapi kini kebanyakan permukaannya dilitupi oleh selada air, yang penyebarannya telah dibantu oleh angin dan hujan lebat.
Pemilik perahu, Felicito Monroy berkata fenomena itu bermakna dia tidak dapat memancing selama 20 hari.
Pembiakan pesat tumbuhan itu juga menjejas teruk restoran.
“Hari ini, orang ramai datang, lihat, dan pergi serta-merta. Mereka tidak menikmati perjalanan bot, mereka tidak tinggal untuk merasai hidangan, disebabkan tarikan tempat ini ialah air, tasik,” kata Johnny Anzora, seorang pelayan restoran berusia 44 tahun.
Ahli biologi dan penyelidik Cidia Cortes menjelaskan bahawa penyebaran itu didorong oleh kemasukan ‘pencemaran’ ke tasik, yang dibawa oleh anak sungai.
“Logam berat, aluminium, arsenik, plumbum… masuk ke dalam perairan itu, jadi ia seperti membuang baja ke dalam air; alga memakannya juga dan berkembang dengan pesat,” katanya.
Dalam usaha untuk menghapuskan tumbuhan itu, lima tongkang pengorekan sedang berusaha untuk mengeluarkannya.
Setakat ini, mereka telah membersihkan kira-kira 6.3 hektar takungan itu, bersamaan dengan sembilan padang bola sepak, menurut Suruhanjaya Eksekutif Hidroelektrik Sungai Lempa milik kerajaan.
Namun Cortes memberi amaran bahawa melainkan punca utama, iaitu aliran masuk air tercemar, tidak ditangani, tumbuhan tersebut akan terus berkembang subur. – AFP

