Friday, October 18, 2024
25.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Tasik Hoa Binh sarat legenda sejarah

    HANOI – Kuil Thac Bo dan Gua Thac Bo di wilayah pergunungan utara Hoa Binh menawan hati pelancong kerana lansdkap, tradisi budaya dan legenda sejarah yang menakjubkan.

    Kedua-dua tempat yang indah ini adalah antara tarikan yang mesti dilihat semasa melawat Tasik Hoa Bình salah satu takungan buatan manusia terbesar Viet Nam, yang dikenali sebagai ‘teluk kecil Ha Long’ di kawasan pergunungan.

    Tasik ini menawarkan keindahan yang romantis dan menakjubkan dengan kombinasi elemen-elemen semula jadi seperti air, gunung dan hutan ditambah pula dengan cerita-cerita mistik atau keagamaan yang berkaitan dengan tasik. Ia sekali gus menambahkan lagi dimensi budaya dan sejarah kepada pengalaman pengunjung.

    Tempat pelancongan yang terletak di dua kampung, Thung Nai dan Vay Nua, di daerah Cao Phong dan Da Bac, kira-kira 100 kilometer dari Ha Noi itu adalah sebahagian daripada kawasan yang dikenali sebagai Thac Bo, yang mana terdapat Air Terjun Bo di Sungai Da.

    Kuil Thac Bo menyembah dua Dewi etnik Muong dan Dao, satu bernama Dinh Thi Van dan satu lagi tidak diketahui.

    Tasik Hao Binh merupakan takungan air buatan manusia terbesar yang menawarkan keindahan alam semula jadi – ANN
    Gua Thac Bo salah satu tarikan yang memperlihatkan keindahan dan keunikannya yang tersendiri, di samping cerita legenda di sebalik sejarah tasik tersebut. –ANN

    Kedua-dua wanita itu telah memberikan sumbangan besar dalam membantu tentera di bawah pemerintahan Maharaja Le Loi (1384-1433) meredakan pemberontakan dengan menyokong mereka dalam pengangkutan makanan dan bot melalui Air Terjun Bo ke kawasan Muong Le ketika itu, kini dikenali sebagai Phuc Le dan merupakan sebahagian daripada Wilayah Lai Chau.

    Menurut legenda, walaupun kedua-dua wanita itu telah meninggal dunia, roh mereka sering muncul untuk membantu pemandu bot tempatan menyeberangi air terjun berbahaya, terutamanya semasa ribut kuat apabila Sungai Da belum dikawal oleh empangan hidro elektrik tempatan.

    Bagi memberikan penghormatan kepada kedua-dua srikandi ini, penduduk tempatan telah membina sebuah kuil untuk menyembah mereka sebagai Dewi Air Terjun Bo dan menyatakan penghargaan mereka dengan harapan dilindungi daripada bahaya semasa melintasi kawasan tersebut.

    Setiap tahun, Festival Kuil Bo diadakan pada hari kedua Tahun Baharu Cina dan berlangsung sehingga bulan keempat, menarik ribuan pengunjung ke kuil untuk berdoa agar mendapat kebahagiaan dan keuntungan yang baik.

    Dari Kuil Bo, pemandangan Tasik Hoa Binh yang luas menawarkan pemandangan yang indah, memukau penonton dengan perasaan tenang, lembut dan damai serta menghapuskan segala kesedihan dan kemelut kehidupan.

    Walaupun kecil, kuil itu merupakan tempat yang suci. Bersama dengan landskap cantik yang berharmoni dengan gunung dan air, tempat ini mempunyai 38 buah patung kuno dengan saiz yang berbeza, termasuk dua buah patung gangsa. Ia telah disenaraikan sebagai tapak warisan kebangsaan oleh Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan pada tahun 2009.

    Untuk sampai ke Kuil Bo, pelawat akan memulakan perjalanan mereka dari Kuil Trinh ke Kuil Chua. Ia mengambil masa perjalanan 15 hingga 20 minit dengan bot dari satu tempat ke satu tempat yang lain, dan pelancong dapat menikmati pemandangan yang menakjubkan dari ratusan pulau kapur dengan pelbagai saiz yang berbeza.

    Di destinasi terakhir perjalanan, mereka boleh mencuba hidangan istimewa yang dijual di kaki kuil sebelum meneroka Sungai Da.

    Luu Hong Xuan, seorang pelancong dari Ha Noi, berkata melancong ke Hoa Binh sentiasa menjadi pilihan pertama keluarganya pada musim bunga dan panas dan Kuil Thac Bo menarik perhatiannya dengan sejarah yang kaya.

    “Kuil ini sangat sesuai untuk mereka yang ingin menikmati keindahan yang tenang dan merenung di alam yang suci dan harmoni,” katanya.

    Walau bagaimanapun, semasa lawatannya ke tempat tersebut awal tahun ini, Xuan mendapati peningkatan mendadak dalam jumlah pelancong dan perjalanan bot yang tidak teratur menimbulkan beberapa kesulitan bagi keluarganya dan orang lain.

    “Ia mengambil masa yang lama untuk mendapatkan bot dengan jeti yang begitu sesak.

    Timbul kekacauan dan kekecohan. Yang lebih buruk adalah alam sekitar telah diabaikan dan tercemar dengan sampah yang dibuang ke dalam tasik,” katanya.

    GUA THAC BO

    Melayari Tasik Hoa Binh ke Kuil Bo, pengunjung juga boleh menjelajahi Gua Thac Bo, pembentukan batu kapur yang mempesonakan yang terbentuk daripada stalaktit pelbagai rupa.

    Setelah berhenti di kampung Bung di Daerah Tan Lac, pengunjung dapat mengakses gua dengan mendaki hampir 100 anak tangga batu pada musim paras air surut. Pada musim air pasang, bot mereka dapat mencapai pintu gua.

    Dari pintu gua, di sepanjang jambatan kecil sejauh 30 meter (m), pengunjung dapat menikmati pemandangan ikan melompat di permukaan air dan mengagumi patung-patung semula jadi yang aneh, hampir setinggi 2m yang muncul dari lantai gua.

    Sebaik sahaja mereka menyeberangi danau kecil, keindahan gua dongeng ini terbentang luas untuk pengalaman yang benar-benar unik dan menyeronokkan.

    Dom Spm Thun, ketua pihak berkuasa budaya Daerah Tan Lac, berkata bahawa Gua Thac Boy adalah keajaiban batu kapur yang luar biasa, membentuk ‘ruang seni’ semula jadi di dalamnya.

    “Gua yang terbentuk secara semula jadi selama beribu juta tahun, dengan kedalaman lebih dari 100m initerbahagi kepada tiga kawasan,” kata Tung.

    Kawasan pertama adalah luas dengan siling kekubah dan tersusun secara semulajadi seperti ruang menunggu atau ruang tamu besar. Stalaktit di kedua sisi dinding gua adalah sedikit, tetapi sangat unik.

    Di atas siling yang bergelombang terdapat banyak stalaktit yang tergantung berwarna putih dan berkilau seperti mutiara. Yang lain berwarna emas dan berkilau seperti lampu hiasan bunga, dengan bahagian sisi tajam seperti lapisan batu karang.

    Menurut Tung, ramai orang membandingkan gua ini dengan alat muzik batu setelah mendengar bunyi air yang jatuh dari stalaktit, bergema di seluruh gua.

    Selain stalaktit berpola, kira-kira 50m lebih tinggi dari sana adalah tempat yang kelihatan seperti kawasan sembahyang kerana tiang batu yang menjulang naik dari lantai seperti patung Buddha.

    Sebagai tempat pelancongan rohaniah, pengunjung ke gua ini menawarkan setanggi, berdoa untuk kebahagian dan menikmati pemandangan yang indah. – ANN

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda