Tuesday, September 17, 2024
23.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    TASKA YSHHB anjur majlis mini konvokesyen

    Oleh Salawati Haji Yahya –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 2 NOV – Bagi memberikan penghargaan kepada murid-murid Tahun 3, Taman Asuhan Kanak-kanak (TASKA) Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (YSHHB), telah mengadakan Majlis Mini Konvokesyen ke-25, Penyampaian Hadiah dan Sijil Akademik, hari ini.

    Majlis yang dibahagikan kepada dua sesi itu diselajurkan dengan Konsert Mini Taman Asuhan 3 yang berlangsung di Dewan Persida-ngan Utama, Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas.

    Pada majlis sebelah pagi, seramai 146 orang graduan cilik daripada Taman Asuhan 3 bagi 2023 diraikan setelah berjaya menamatkan pembelajaran Program Pendidikan Awal Kanak-kanak selama tiga tahun di TASKA.

    Hadir selaku tetamu kehormat pada sebelah pagi dan seterusnya menyampaikan hadiah dan sijil kepada murid-murid yang diraikan ialah Penolong Pengarah Urusan (Perkhidmatan Korporat) Yayasan, Awang Abdullah@Dollah bin Haji Ahad.

    Majlis konsert mini itu dimeriahkan dengan persembahan daripada murid-murid Taman Asuhan 3 dengan tema bertajuk Kenangan bersama di TASKA.

    Graduan-graduan dari Taman Asuhan Kanak-kanak Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (TASKA YSHHB) diraikan semasa Majlis Mini Konvokesyen kali ke-25, Penyampaian Hadiah dan Sijil Akademik, kelmarin. – GAMBAR OLEH ADIB NOOR
    Awang Abdullah@Dollah menyampaikan sijil kepada salah seorang murid yang diraikan semasa majlis tersebut. – GAMBAR OLEH ADIB NOOR
    Antara murid yang diraikan pada majlis konvoksyen tersebut. – GAMBAR OLEH ADIB NOOR
    Antara graduan yang diraikan semasa majlis berkenaan. – GAMBAR OLEH ADIB NOOR

    Persembahan-persembahan tersebut dipersembahkan dalam empat bahasa iaitu bahasa Melayu, Inggeris, Arab dan Mandarin serta persembahan gulintangan yang mengiringi persembahan kelas masing-masing.

    Manakala itu, pada sebelah petang, seramai 159 orang murid Taman Asuhan 2 juga telah menerima hadiah dan sijil akademik yang diselajurkan dengan konsert mini yang bertema Bagaimanakah cuaca pada hari ini?

    Hadir selaku tetamu kehormat dan seterusnya menyampaikan hadiah dan sijil ialah Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif, Sekolah YSHHB, Chong Li Chen.

    Penganugerahan sijil pencapaian murid-murid telah dinilai mengikut sistem penilaian berterusan dan memfokuskan kepada penilaian kemahiran membaca mengikut skim TASKA sama ada secara fizikal mahupun dalam talian (secara hibrid).

    Turut hadir ialah Pemangku Pengetua TASKA YSHHB, Hajah Mariam binti Haji Ladi; Pengetua Sekolah Menengah YSHHB serta ibu bapa dan penjaga murid-murid yang diraikan.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda