Wednesday, July 16, 2025
28.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    TASKA YSHHB sambut Awal Tahun Hijrah

    Oleh Nurdiyanah R. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 7 JULAI – Seramai 522 orang kanak-kanak dari Taman Asuhan Kanak-kanak Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (TASKA YSHHB) telah menghadiri Majlis Sambutan Awal Tahun Hijrah bagi tahun 1447 di Dewan TASKA YSHHB, baru-baru ini.

    Hadir bagi sama-sama meraikan majlis kerohanian berkenaan ialah Pengetua TASKA YSHHB, Hajah Hafizah binti Haji Salat; penolong pengetua, guru-guru dan pembantu-pembantu guru serta kakitangan TASKA YSHHB.

    Acara dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah oleh Awang Mohammad Syafiq bin Mohammad Suhardie, selaku guru agama latihan mengajar di Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB).

    Antara pengisian majlis berkenaan ialah pertandingan bacaan Surah Al-Fatihah oleh wakil murid-murid dari Taman Asuhan 3; sesi penyampaian kisah ringkas mengenai hijrah Nabi Muhammad SAW disampaikan oleh Dayang Nurhalimatul Hanisah binti Haji Awang Abdul Rahman yang juga guru agama latihan mengajar di KUPU SB dan persembahan nasyid oleh murid-murid Taman Asuhan 3 bertajuk Taqwim Hijrah.

    Majlis turut menyaksikan penyampaian hadiah kepada para pemenang yang disempurnakan oleh Hajah Hafizah, diikuti dengan sesi bergambar ramai.

    Penganjuran majlis sedemikian bertujuan untuk sama-sama meraikan dan memperingati hari kebesaran Islam selain memupuk dan menambah lagi rasa kecintaan kepada Allah SWT dan Nabi Muhammad SAW. Di samping itu, ia juga dihasratkan untuk mencungkil bakat kanak-kanak untuk tampil mengikuti pertandingan membaca ayat-ayat suci Al-Quran.

    Salah seorang murid ketika menyertai pertandingan bacaan Surah Al-Fatihah. – GAMBAR SERAHAN TASKA YSHHB
    Sesi bergambar ramai semasa Majlis Sambutan Awal Tahun Hijrah yang diadakan di Dewan TASKA YSHHB, baru-baru ini. – GAMBAR SERAHAN TASKA YSHHB
    Penyampaian kisah ringkas mengenai hijrah Nabi Muhammad SAW disampaikan oleh Dayang Nurhalimatul Hanisah. – GAMBAR SERAHAN TASKA YSHHB

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda