Wednesday, July 16, 2025
24.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Tatapan skrin tingkatkan tekanan mata

    SUDAH menjadi tabiat bagi sesetengah individu di era semasa untuk melayari laman media sosial menerusi telefon pintar sejurus bangun pagi untuk memeriksa notifikasi atau berita terkini.

    Tabiat yang sama juga dilakukan sebelum tidur. Situasi demikian menggambarkan gaya hidup yang menjadi fenomena dunia yang kian meningkat.

    Berdasar kajian, penduduk Asia Pasifik adalah pengguna tertinggi gajet dengan paparan skrin digital berbanding penduduk bahagian lain dunia.

    Dianggarkan mereka meluangkan masa tujuh jam sehari menatap skrin digital dengan dua jam daripadanya melayari telefon pintar dan pada masa sama menonton televisyen.

    Penggunaan pelbagai skrin digital ini adalah amalan harian yang disesuaikan oleh populasi digital yang kian meningkat dalam mendapatkan berita dan maklumat serta menjalankan tugas mereka di tempat kerja.

    Hadkan tatapan pada skrin digital bagi mengelakkan masalah penglihatan.
    Hadkan tatapan pada skrin digital bagi mengelakkan masalah penglihatan.

    Walaupun kebergantungan kita ke atas teknologi untuk menjalani kehidupan harian membawakan pelbagai kemudahan, ia juga membawa pelbagai kesan berbahaya kepada kesihatan antaranya tekanan digital terhadap mata.

    Tekanan digital terhadap mata adalah ketidakselesaan yang dialami organ penglihatan itu selepas lebih dua jam menatap skrin digital dalam jarak dekat.

    Ia biasanya dicirikan dengan gejala seperti keletihan, kemerahan, rasa kasar, penglihatan kabur, pening dan sakit bahu serta leher akibat postur skrin yang tidak betul.

    Bagaimanapun, rasa tidak selesa pada mata bukan disebabkan oleh paparan skrin semata-mata, sebaliknya pendedahan kepada sinaran biru yang dipancarkan oleh paparan skrin dalam jangka lama secara berterusan boleh menyebabkan komplikasi yang serius.

    Sinaran biru mempunyai jarak gelombang yang sangat pendek dan ini membuatkan ia menghasilkan sejumlah tenaga yang lebih tinggi. Kajian menunjukkan pendedahan pada sinaran biru secara berlebihan dalam jangka panjang boleh menyebabkan kerosakan serius kepada mata.

    Ini kerana, sinaran biru menjangkau jauh ke dalam mata dan kesan kumulatifnya iaitu pendedahan sedikit demi sedikit dalam jangka panjang boleh menyebabkan kerosakan kepada retina.

    Kekerapan tekanan digital terhadap mata boleh mengakibatkan masalah mata kering yang jika tidak dirawat boleh mendatangkan kesan buruk terhadap penglihatan seseorang. Masalah mata kering menjejaskan kebolehan seseorang dalam menjalankan aktiviti harian, malah menjejaskan kemampuan seseorang untuk memandu dan membaca.

    Satu lapisan air mata yang nipis sepatutnya menyaluti permukaan mata setiap kali mata berkelip. Apabila seseorang mempunyai masalah mata kering, kelenjar air mata tidak menghasilkan cecair yang secukupnya untuk melembapkan dan melindungi mata seterusnya mengakibatkan ketidakselesaan dan kerengsaan.

    Inilah yang terjadi akibat daripada pendedahan yang terlalu lama dan berpanjangan daripada tekanan digital terhadap mata. Apabila tidak dirawat, ia boleh mengakibatkan kesan jangka panjang yang berbahaya dan impak secara langsung kepada kesihatan mata seseorang.

    Namun, masalah mata kering juga disebabkan punca seperti menghidap penyakit, perubahan persekitaran dan penuaan. Gejala bagi mata kering seperti mata pedih, rasa kasar seperti berpasir, kemerahan, pandangan kabur dan tidak tahan silau.

    Teknologi sememangnya banyak kelebihannya, namun ia perlu digunakan secara bertanggungjawab untuk mengelakkan kesan berbahaya kepada kesihatan kita. Terdapat amalan mudah yang dapat digunakan dalam rutin untuk mengelakkan mata daripada mengalami masalah kekeringan dan tekanan.

    Rehatkan mata daripada menatap skrin selama 20 saat pada setiap 20 minit dan melihat pemandangan pada jarak 20 kaki. Di samping itu, selaraskan kadar cahaya pada komputer atau telefon pintar kepada tahap yang selesa bagi mata.

    Menatap skrin digital pada jarak yang selesa dan elakkan daripada menatapnya terlalu dekat. Pengguna juga digalakkan untuk melembapkan mata sebelum kekeringan berlaku menerusi ubat titis mata yang boleh memberikan perlindungan daripada masalah mata kering.

    Pengguna dinasihat untuk melakukan pemeriksaan mata sekurang-kurangnya sekali setahun bagi memastikan mata dan penglihatan mereka kekal dalam keadaan baik.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda