Taufan Agatha ragut 11 nyawa, 20 hilang

SAN ISIDRO DEL PALMAR, MEXICO, 1 JUN – Taufan Agatha menyebabkan banjir dan tanah runtuh yang mengorbankan sekurang-kurangnya 11 orang dan menyebabkan 20 orang hilang, kata gabenor negeri selatan Oaxaca kelmarin.

Gabenor Alejando Murat berkata, sungai melimpahi tebingnya dan menghanyutkan orang ramai dari rumah, manakala mangsa lain tertimbus di bawah lumpur dan batu.

Murat turut berkata, kematian tertumpu di beberapa bandar kecil di pergunungan yang tidak jauh dari pantai. Dia menambah bahawa terdapat juga laporan mengenai tiga kanak-kanak yang hilang berhampiran resort Huatulco.

Agatha mencipta sejarah sebagai taufan terkuat yang pernah direkodkan mendarat pada bulan Mei semasa musim taufan timur Pasifik. – AP