MIAMI, 22 SEPT – Taufan Gabrielle yang telah terbentuk kelmarin di Lautan Atlantik, tenggara Bermuda, manakala Ribut Tropika Narda turut muncul di luar pesisir pantai Pasifik selatan Mexico.
Pusat Taufan Kebangsaan yang berpangkalan di Miami berkata, Gabrielle menjadi taufan kategori satu selepas angin kencang berterusan mencecah 75 mph.
Gabrielle berada kira-kira 320 batu di tenggara Bermuda dan bergerak ke arah barat laut-utara pada kelajuan 10 mph.
Pusat itu berkata, Gabrielle berpotensi menjadi taufan besar pada awal minggu ini kerana dijangka mengalami peningkatan kekuatan angin secara berterusan dalam tempoh sehari atau lebih.
Berdasarkan ramalan semasa, Gabrielle dijangka bergerak ke timur Bermuda hari ini.
Sebuah pesawat pengesan taufan mengesan ribut itu sudah mencapai kekuatan taufan dan bergerak lebih ke arah barat laut-utara.
Tiada amaran atau pemantauan pantai dikeluarkan, tetapi pakar kaji cuaca menggesa penduduk Bermuda supaya sentiasa berwaspada.
Ombak laut besar yang dicetuskan Gabrielle kini melanda Bermuda dan dijangka sampai ke pesisir timur Amerika Syarikat dari Carolina Utara hingga ke Kanada Atlantik dalam beberapa hari akan datang.
Di Lautan Pasifik, Narda muncul jauh dari pesisir Mexico kelmarin dan tidak mengancam daratan.
Pusat taufan berkata Narda mempunyai angin kencang berterusan sekitar 40bsj dan berada kira-kira 240 batu ke selatan-tenggara Zihuatanejo, Mexico, sambil bergerak ke arah barat laut pada kelajuan 10bsj.
Tambah pusat itu, Narda berpotensi menjadi taufan ketika bergerak lebih jauh ke laut. – AP


