Saturday, October 5, 2024
22.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Taufan Beryl musnahkan beberapa pulau Caribbean

    GENEVA, 5 JULAI – Palang Merah hari ini menggambarkan pemandangan membinasakan selepas Taufan Beryl melalui Caribbean menuju ke Mexico, dengan St. Vincent dan Grenadines terjejas teruk dan dua pulau Grenada ‘hancur musnah’.

    Persekutuan Antarabangsa Persatuan Palang Merah dan Bulan Sabit Merah (IFRC) berkata pasukan-pasukan kebangsaan telah melihat sendiri kesan yang mengancam nyawa daripada hujan Beryl.

    Ribut berkenaan telah meninggalkan jejak kemusnahan di seluruh Caribbean dan pantai Venezuela, membunuh sekurang-kurangnya tujuh orang, sebelum menghampiri Semenanjung Yucatan Mexico pada hari ini.

    Ia merupakan taufan pertama sejak rekod National Hurricane Center (NHC) bermula yang mencecah tahap Kategori 4 pada Jun dan yang paling awal mencatat Kategori tertinggi 5 pada Julai.

    “Kesan teruk kerosakan akibat taufan itu amat menyayat hati,” kata Rhea Pierre, pengurus bencana IFRC di Caribbean, kepada pemberita di Geneva melalui pautan video dari Trinidad dan Tobago.

    Beryl merentasi pantai selatan Jamaica pada Rabu, sebagai taufan terkuat yang melanda negara itu sejak Taufan Dean pada 2007, katanya. Sementara itu, di St. Vincent dan Grenadines, beliau berkata ‘laluan Taufan Beryl dirasai di seluruh negara’.

    “Dianggarkan kira-kira 90 peratus pulau Grenadine telah terjejas.” Dan di Grenada, Beryl mendarat sebagai taufan Kategori 4, “memusnahkan sepenuhnya pulau Cariacou dan Petit Martinique,” katanya.

    “Keadaan kecemasan kekal di pulau-pulau ini di mana jumlah rasmi mereka yang berada di tempat perlindungan masih tidak diketahui dan saluran komunikasi adalah amat terhad.”

    “Gambaran sebenar kerosakan dan kemusnahan yang ditinggalkan taufan itu akan muncul dalam beberapa jam dan hari akan datang,” katanya. Namun sudah jelas bahawa keperluan yang timbul amat besar. – AFP

    Seorang wanita melihat pantai yang bersepah dengan sampah di Bull Bay, Jamaica, selepas Taufan Beryl pada 4 Julai. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda