Sabtu, 22 November 2025
23.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Taufan Bualoi ragut 11 nyawa di Filipina

    MANILA, 28 SEPT – Angka kematian akibat Ribut Tropika Bualoi meningkat kepada 11 orang di Filipina kelmarin ketika taufan itu bergerak menuju ke Vietnam, menurut pihak berkuasa.
     
    Bualoi membadai pulau-pulau kecil di tengah Filipina pada Jumaat, menumbangkan pokok dan tiang elektrik, menerbangkan bumbung rumah, mencetuskan banjir serta memaksa 400,000 orang berpindah.
     
    Antara kawasan paling teruk terjejas ialah pulau kecil Biliran, di mana lapan orang maut dan dua lagi hilang, kata pegawai bencana wilayah Noel Lungay kepada AFP melalui telefon.
     
    “Terdapat banjir besar dan beberapa jalan masih ditenggelami air pagi tadi,” katanya.
     
    “Ramai penghuni pusat pemindahan sudah mula pulang ke rumah apabila cuaca semakin baik,” tambahnya.
     
    Pejabat pertahanan awam di Manila sebelum itu melaporkan tiga lagi kematian di pulau berhampiran Masbate dan Ticao, termasuk dua orang yang ditimpa pokok dan tembok yang roboh akibat angin kencang.
     
    Seramai 14 orang juga dilaporkan masih hilang di seluruh kawasan tengah Filipina, tanpa mendedahkan perincian lanjut, sementara lebih 200,000 orang masih tinggal di pusat pemindahan semasa ribut melanda. – AFP
     
    Anggota Biro Perlindungan Kebakaran membawa beg mayat selepas Ribut Tropika Bualoi melanda sebuah kampung di bandar Kawayan, wilayah Biliran. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda