Ahad, 23 November 2025
28 C
Brunei

    Berita Terkini

    Taufan Bualoi ragut puluhan nyawa di Vietnam, Filipina

    HANOI, 29 SEPT – Sebuah taufan yang meranapkan bumbung rumah telah meragut puluhan nyawa di Vietnam dan Filipina, menurut pegawai kedua-dua negara hari ini, ketika ribut Bualoi yang semakin lemah melintasi sempadan ke Laos.

    Taufan itu melanda pulau-pulau kecil di tengah Filipina minggu lalu, menumbangkan pokok dan tiang elektrik, mencetuskan banjir serta memaksa 400,000 orang berpindah.

    Seorang pegawai pertahanan awam Filipina hari ini berkata, angka korban di negara itu telah meningkat lebih dua kali ganda kepada 24 orang, kebanyakannya mati akibat lemas atau terkena serpihan runtuhan.

    Para saintis memberi amaran bahawa ribut semakin kuat apabila dunia semakin panas akibat perubahan iklim yang didorong manusia.

    Di Vietnam, Bualoi melanda daratan sebagai taufan lewat kelmarin dengan kelajuan angin mencecah 130 kilometer sejam.

    Pemandangan Pantai Cua Lo yang musnah selepas taufan Bualoi melanda daratan di wilayah Nghe An, Vietnam, kelmarin. – AFP

    Ribuan rumah dan premis perniagaan rosak atau musnah di kawasan tengah dan utara negara itu, dengan sekurang-kurangnya 11 orang terkorban, kata pihak berkuasa Vietnam kepada AFP hari ini.

    Gambar yang diterbitkan AFP menunjukkan bumbung zink tercabut daripada bangunan dan serpihan rumah bertaburan di jalan-jalan yang dipenuhi air di wilayah pesisir Nghe An.

    “Angin menerbangkan bumbung rumah saya ke langit lalu jatuh, memusnahkan semuanya. Saya terpaksa menutup kepala dan berlari ke rumah jiran untuk menyelamatkan diri,” kata Trinh Thi Le, 71, dari wilayah Quang Tri, dipetik oleh akhbar kerajaan Tuoi Tre.

    Kira-kira sembilan orang maut apabila pusaran angin berkaitan taufan melanda wilayah Ninh Binh di utara awal pagi tadi, menurut agensi bencana tempatan.

    Seorang lagi maut di wilayah Hue dan seorang di Thanh Hoa, manakala kira-kira 20 orang dilaporkan hilang, menurut pihak berkuasa tempatan dan kebangsaan.

    Antara yang masih belum ditemui ialah sembilan nelayan yang bot mereka hilang di laut semalam selepas terlepas daripada tambatan akibat tiupan angin kencang dan arus deras, kata polis. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda