BULACAN, 25 JULAI – Pasukan penyelamat di utara Filipina menggunakan bot untuk menyelamatkan penduduk yang terperangkap akibat banjir ketika Taufan Co-May beralih kepada ribut tropika dan jumlah kematian akibat hujan monsun selama seminggu semakin meningkat, hari ini.
Sekolah masih ditutup dan bekalan elektrik terputus di kawasan pulau terbesar di negara kepulauan itu apabila agensi bencana negara melaporkan 25 maut dan lapan hilang sejak Jumaat lalu.
Namun, angka itu tidak termasuk tiga pekerja pembinaan yang tertimbus dalam kejadian tanah runtuh ketika mereka berehat pada kelmarin di wilayah Cavite, selatan ibu negara Manila, menurut pasukan penyelamat.
Sebuah dinding di atas tapak pembinaan runtuh menimpa lelaki di bawahnya selepas hujan berhari-hari melembutkan tanah di bawahnya, kata anggota pasukan penyelamat, Rosario Jose.
“Semua mayat ditemui dalam lumpur,” katanya. Seorang yang terselamat telah dikeluarkan daripada runtuhan itu.
Di wilayah pantai barat La Union, yang dilanda Taufan Co-May, empat sekeluarga telah diselamatkan pagi tadi selepas terperangkap di tingkat dua buah rumah kayu mereka.
“Mereka tidak dapat keluar dari rumah kerana banjir separas pinggang dan mereka mempunyai anak,” kata pegawai penyelamat.
“Ramai yang menghubungi kami sejak awal pagi, tetapi kami berdepan cabaran untuk bertindak balas kerana hujan dan angin begitu kencang,” kata mereka sambil menambah hujan lebat yang reda bermakna operasi menyelamat kini berjalan lancar.
Di wilayah Bulacan, hanya di utara Manila, wartawan AFP melihat keseluruhan kampung yang mana separuh daripadanya ditenggelami banjir. – AFP
