Saturday, July 26, 2025
26.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Taufan Co-May landa Filipina

    MANILA, 24 JULAI – Filipina menutup sekolah dan membatalkan penerbangan hari ini ketika hujan lebat yang disebabkan oleh taufan dan ribut tropika berasingan melanda pulau Luzon di utara negara itu.
     
    Taufan Co-May, dinaik taraf daripada ribut tropika semalaman, berikutan hujan monsun berhari-hari yang telah membunuh kira-kira 12 orang dan menyebabkan lapan lagi hilang di seluruh kepulauan sejak 18 Julai, menurut agensi bencana negara.
     
    Dengan angin berkelajuan maksimum 120 kilometer sejam, taufan itu dijangka mendarat di pantai barat sama ada di wilayah La Union atau Ilocos Sur menjelang pagi esok, kata perkhidmatan cuaca negara itu.
     
    Kira-kira 70 penerbangan domestik dan antarabangsa telah dibatalkan akibat ribut itu, kata pihak berkuasa penerbangan awam.
     
    Kerajaan telah mengumumkan penutupan sekolah di seluruh Luzon hari ini.
     
    Para penduduk meredah jalan yang dinaiki air selepas hujan lebat di Bandar Dagupan, wilayah Pangasinan, utara Manila pada 24 Julai. – AFP
    Puluhan ribu telah dipindahkan di seluruh Manila awal minggu ini disebabkan banjir di beberapa buah kawasan kejiranan sehingga paras pinggang dan menyebabkan penduduk wilayah berdekatan terperangkap dan perlu diselamatkan dengan bot.
     
    Sehingga hari ini, kira-kira beberapa ribu orang di Manila masih tidak dapat pulang ke rumah mereka.
     
    “Kami tidak boleh menghantar mereka pulang kerana masih hujan dan beberapa taufan masih dijangka melanda negara,” kata penyelaras penyelamat di ibu negara, Ria Mei Pangilinan, kepada AFP.
     
    “Mungkin terdapat lebih ramai yang akan berpindah jika hujan tidak berhenti,” tambahnya.
     
    Taufan Co-May berada kira-kira 210 kilometer dari pantai barat negara itu setakat 11 pagi. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda