MANILA, 26 JULAI – Ribut kuat melanda utara Filipina hari ini, membunuh sekurang-kurangnya dua orang, menumbangkan pokok dan memutuskan bekalan elektrik sementara beribu-ribu orang berlindung dengan jiran atau di pusat pemindahan kecemasan.
Taufan Doksuri “bergerak perlahan-lahan dari Pulau Dalupiri”, di hujung utara pulau utama Luzon, dan ke perairan terbuka, menurut agensi cuaca negeri itu dalam kemas kini 0900 GMT.
Agensi itu sebelum ini memberi amaran tentang “keadaan ganas, mengancam nyawa” apabila angin berkelajuan maksimum 175 kilometer sejam dan hujan lebat melanda wilayah tidak padat penduduk.
Seorang wanita yang menjual roti gulung maut apabila dihempap pokok kelapa yang tumbang di wilayah utara Isabela hari ini, kata pegawai bencana wilayah, Constante Foronda kepada AFP.
Seorang remaja lelaki berusia 16 tahun maut hari ini apabila tanah runtuh melanda sebuah rumah di bandar pergunungan utara Baguio, kata pegawai bencana bandar Julius Santos kepada AFP.
Doksuri menjadi taufan super ketika ia melanda Lautan Pasifik kelmarin tetapi menjadi lemah apabila ia menghampiri Filipina.
Ribut itu dijangka menjadi lemah apabila ia bergerak merentasi Laut China Selatan, melintasi Taiwan sebelum mendarat di tenggara China pada Jumaat. – AFP


