MEXICO, 1 JULAI – Ribut Tropika Flossie telah bertukar menjadi taufan kelmarin, berhampiran pantai Pasifik Mexico dan dijangka membawa hujan lebat, menurut Pusat Taufan Kebangsaan Amerika Syarikat.
Flossie dikesan berada 280 kilometer dari pelabuhan Manzanillo di negeri Colima, Mexico, menurut laporan terkini agensi meteorologi tersebut.
Taufan itu menghasilkan kelajuan angin maksimum berterusan pada 120 km/j dan bergerak pada kelajuan 17 km/j, tambah agensi itu.
Taufan tersebut turut dijangka bergerak selari dengan pantai Pasifik sebelum menjauhi wilayah Mexico, namun berkemungkinan membawa hujan di negeri-negeri Michoacan, Guerrero, Colima serta beberapa kawasan di Jalisco dan Oaxaca.
“Hujan berkemungkinan menyebabkan tanah runtuh, paras sungai dan anak sungai meningkat,” kata Suruhanjaya Air Kebangsaan Mexico dalam satu kenyataan, sambil menambah banjir di kawasan rendah juga dijangka berlaku.
Walaupun Flossie tidak dijangka melanda secara langsung, Presiden Claudia Sheinbaum menyeru penduduk agar ‘berwaspada sepenuhnya’ dalam satu kenyataan di media sosial pada Ahad.
Mexico sering dilanda siklon setiap tahun di kedua-dua pantai Pasifik dan Atlantik, lazimnya antara bulan Mei hingga November. – AFP


