Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 9 NOV – Negara Brunei Darussalam pada masa ini berada dalam fasa Peralihan Monsun, yang lazimnya akan berterusan sehingga hujung November.
Jabatan Kajicuaca Brunei Darussalam (BDMD), dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini, menyatakan bahawa pada 8 November pada pukul 11 pagi, Taufan ‘FUNG-WONG’ telah dikesan di koordinat 12.7°N 131.3 °E, sekitar 2,033 km jauh dari Negara Brunei Darussalam (Rajah 1).
Taufan Fung-wong diramal akan bergerak ke arah Barat dan kemudian ke arah Barat Laut serta menjauhi Negara Brunei Darussalam.
Kenyataan turut menyatakan, bahawa Taufan Fung-wong dijangka akan mempengaruhi keadaan cuaca negara di mana keadaan cuaca aktif diramalkan berlaku bermula 9 November hingga 14 November dengan hujan sekali-sekala lebat dan berpetir berserta angin kencang dijangka akan menjejaskan kawasan laut dan beberapa kawasan negara dengan kelajuan angin sehingga 50 kmsj semasa atau dekat hujan lebat dan berpetir.
Sementara itu, keadaan laut pada amnya berombak di paras Sedikit ke Sederhana, di antara 0.5 meter hingga 1.6 meter.
Dalam hubungan itu, orang ramai dinasihatkan untuk mengambil langkah-langkah awal akan kejadian cuaca aktif yang diramalkan berlaku di mana terdapat risiko tinggi berlakunya banjir kilat.

Ini terutama di kawasan-kawasan rendah dan mudah banjir serta di kawasan berdekatan tebing sungai semasa hujan lebat yang berterusan dan semasa kejadian air pasang.
Kejadian tanah susur, pokok tumbang dan atap terbang juga boleh berlaku semasa hujan lebat dan keadaan berangin kencang dengan keadaan laut diparas sederhana adalah berbahaya bagi operasi bot-bot kecil.
Pada masa yang sama, orang ramai khususnya para pemandu di jalan raya dan juga para pelaut dinasihatkan supaya sentiasa peka dengan ramalan, nasihat dan amaran cuaca terkini yang dikeluarkan oleh Jabatan Kajicuaca Brunei Darussalam dan membuat perancangan yang bersesuaian untuk keselamatan semua.
BDMD akan terus memantau keadaan cuaca dari masa ke semasa dan akan mengeluarkan nasihat dan amaran cuaca jika perlu.
Maklumat, nasihat dan amaran cuaca terkini boleh diterima dengan lebih mudah melalui aplikasi bimbit kami iaitu Brunei WX, kerana, maklumat, nasihat dan amaran cuaca dapat diterima terus sebaik sahaja nasihat atau amaran terkini dikeluarkan.
Selain itu, maklumat cuaca terkini juga boleh diperolehi dengan menghubungi peramal cuaca yang bertugas di Pusat Ramalan Cuaca, melalui Talian Cuaca 114, atau melayari laman sesawang www.met.gov.bn atau melalui laman Facebook (@bruneiweather), Instagram (@brunei.weather) dan melalui saluran Telegram serta Whatsapp (Brunei Weather).

