Khamis, November 20, 2025
23.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Taufan Fung-wong: Sejuta penduduk dipindahkan

    MANILA, 9 NOV – Hampir sejuta penduduk telah dipindahkan apabila paras air banjir meningkat di Filipina, menjelang Taufan Fung-wong yang dijangka bakal melanda pantai timur itu lewat malam hari ini.

    Menurut perkhidmatan cuaca negara, taufan kuat itu, yang melanda hanya beberapa hari selepas ribut lain memusnahkan negara berkenaan, sedang bergerak ke arah barat dengan kelajuan angin 185 kilometer sejam berhampiran pusatnya dan tiupan angin kencang sehingga 230 kilometer sejam pada pukul 11 pagi.

    Taufan Fung-wong yang meliputi hampir seluruh wilayah Filipina itu dijangka bakal membawa angin kencang dan hujan lebat ke sebahagian besar negara kepulauan itu, yang minggu lalu menyaksikan lebih 220 orang terkorban akibat Taufan Kalmaegi.

    Sekolah dan pejabat kerajaan turut diarahkan tutup esok di seluruh pulau utama Luzon, termasuk bandar Manila, di mana hampir 300 penerbangan telah dibatalkan setakat ini.

    Pulau kecil Catanduanes, yang menurut perkhidmatan cuaca negara boleh terkena ‘hentaman langsung’, dilanda angin dan hujan sejak awal pagi hari ini, dengan ombak ribut melanda jalan-jalan di sepanjang pantai dan paras air banjir meningkat di beberapa kawasan.

    Rumah-rumah yang musnah dan ditenggelami oleh banjir akibat Taufan Fung-wong di Filipina pada 9 November. – AFP

    “Ketika ini, mereka sedang merasai kesan taufan itu, terutamanya di Catanduanes kerana mata ribut paling hampir di situ,” kata timbalan pentadbir pertahanan awam, Rafaelito Alejandro dalam sidang akhbar, sambil menambah, seramai 916,863 orang telah dipindahkan di seluruh negara.

    Banjir turut dilaporkan di wilayah Bicol di selatan Luzon, kata Alejandro. Pegawai menjangka paras air akan “meningkat di lembangan Sungai Bicol,” tambahnya.

    Di Guinobatan, sebuah bandar yang mempunyai kira-kira 80,000 penduduk di wilayah Albay, daripada sebuah video yang disahkan, menunjukkan jalan-jalan yang telah bertukar menjadi arus deras banjir.

    Menurut ahli meteorologi kerajaan, Taufan Fung-wong dijangka membawa hujan sebanyak 200 milimeter atau lebih di banyak kawasan.

    Para saintis turut memberi amaran, ribut kini semakin kuat akibat perubahan iklim yang didorong oleh aktiviti manusia.

    Lautan yang lebih panas membolehkan taufan meningkat dengan cepat, manakala atmosfera yang lebih hangat menyimpan lebih banyak lembapan, menyebabkan hujan yang lebih lebat. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda