Sunday, September 8, 2024
22.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Taufan Gaemi paksa 300,000 orang pindah di timur China

    BEIJING, 26 JULAI – Pihak berkuasa di China telah memindahkan hampir 300,000 penduduk dan menghentikan operasi pengangkutan awam di seluruh kawasan timur negara itu hari ini, berikutan Taufan Gaemi yang membawa hujan lebat dan mengakibatkan lima kematian di Taiwan.

    Taufan Gaemi, yang merupakan taufan terkuat melanda Taiwan dalam tempoh lapan tahun, telah menyebabkan banjir besar di beberapa bahagian bandar kedua terbesar di pulau tersebut selepas ia melanda kelmarin.

    Perjalanan taufan itu juga telah memburukkan lagi keadaan hujan musim di Filipina, menyebabkan banjir dan tanah runtuh yang mengorbankan 20 nyawa.

    Dalam satu insiden lain, sebuah kapal tangki yang membawa 1.4 juta liter minyak telah tenggelam di luar pantai Manila kelmarin, dengan pihak berkuasa kini bertungkus-lumus untuk mengawal tumpahan minyak tersebut.

    Bagaimanapun, Taufan Gaemi dilaporkan telah melemah sebaik sahaja ia melanda wilayah Fujian di timur China sejurus sebelum jam 8 malam waktu tempatan semalam, menurut laporan media rasmi.

    China kini sedang menghadapi musim panas dengan keadaan cuaca ekstrem, dengan hujan lebat di kawasan timur dan selatan, manakala sebahagian besar kawasan utara sedang berdepan gelombang panas berturut-turut.

    China merupakan penyumbang terbesar di dunia kepada pelepasan gas rumah hijau yang menurut para saintis, menjadi punca utama perubahan iklim dan peningkatan kejadian cuaca ekstrem yang lebih kerap dan intensif. – AFP

    Sebuah kereta melintas ketika ombak menghempas pantai sebelum Taufan Gaemi mendarat di Bandar Sansha di Daerah Xiapu, Wilayah Fujian tenggara China, pada 25 Julai. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda