Taufan Haishen tidak pengaruhi cuaca negara

BANDAR SERI BEGAWAN, 3 SEPT – Taufan Haishen kini berada di kawasan Barat Lautan Pasifik iaitu sekitar 3,000km jauh dari negara ini, di mana ia diramal akan bergerak ke arah barat laut.

Bagaimanapun, menurut kenyataan daripada Jabatan Kajicuaca Negara Brunei Darussalam, di sini, Taufan Haishen tidak akan mempengaruhi keadaan cuaca Negara Brunei Darussalam.

Negara pada masa ini masih berada dalam monsun barat daya, di mana aliran angin pada amnya akan bertiup dari arah barat daya.

Musim barat daya juga menandakan musim kejadian sistem siklon yang aktif, seperti ribut tropika dan taufan, di kawasan rantau Barat Lautan Pasifik dan Laut China Selatan.

Jelas kenyataan itu lagi, apabila berlakunya ribut tropika dan taufan, negara sering mengalami keadaan cuaca aktif dengan hujan ribut petir berserta angin kencang berlaku sekali-sekala, tertakluk kepada jarak, pergerakan dan lokasi sistem tersebut dari kawasan negara.

Cuaca di negara ini untuk beberapa hari akan datang akan dipengaruhi oleh olakkan angin tempatan, yang mana pada lazimnya hujan berlaku di kawasan pesisiran pantai sekitar tengah hari dan hujan berpetir di kawasan pedalaman pada sebelah petang.

Ia juga dijangka akan bergerak menuju ke kawasan pesisiran dan perairan negara pada waktu malam, dan mungkin berlanjutan sehingga awal pagi.

Manakala, aktiviti hujan pada hujung minggu ini dijangka meningkat dan kadang-kala berpetir dan berangin. Ketinggian ombak adalah di paras sedikit di bawah 1m sepanjang minggu ini.