LOS ANGELES, 21 OGOS – Hujan lebat melanda California kelmarin ketika Ribut Tropika Hilary tiba dari Mexico, memberi amaran banjir yang boleh membawa maut di barat daya Amerika Syarikat (AS) yang biasanya kering.
Dengan orang ramai berasa bimbang, gempa bumi berukuran 5.1 magnitud melanda berhampiran bandar Ojai di selatan California tetapi tiada laporan segera mengenai kerosakan atau kemalangan jiwa.
Setakat petang kelmarin, pusat ribut Hilary terletak di California yang membawa angin berkelajuan maksimum 60 batu sejam, selepas melanda Semenanjung Baja California di Mexico dan Pusat Taufan Kebangsaan (NHC) AS berkata mengenai kejadian cuaca tropika yang jarang berlaku di California Selatan. Ribut itu bergerak pada kelajuan 23 batu sejam.
Menjelang malam kelmarin, NHC memberi amaran tentang hujan ‘luar biasa’ yang dijangka mencetuskan banjir kilat, mengancam nyawa di beberapa bahagian di negeri tersebut hingga hari ini.
Penyiar televisyen ABC tempatan menyiarkan video banjir yang teruk di bahagian Palm Springs, di luar Los Angeles, dan Perkhidmatan Taman Negara mengumumkan bahawa Taman Negara Death Valley ditutup disebabkan keadaan banjir yang berbahaya.
“Ia merupakan peristiwa cuaca yang tidak pernah berlaku sebelum ini,” kata Datuk Bandar Los Angeles, Karen Bass ketika mengeluarkan amaran.
Pantai diarah ditutup dan orang ramai bergegas ke kedai untuk mengumpul bekalan air dan keperluan lain. Amaran banjir kilat dan juga puting beliung juga telah dikeluarkan untuk beberapa kawasan. – AFP


