Jumaat, 21 November 2025
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Taufan Humberto, Ribut Imelda ancam Bermuda, Bahamas

    MIAMI, 29 SEPT – Taufan Humberto dijangka bakal menghasilkan ombak berbahaya bagi kawasan Bermuda dan Pantai Timur AS minggu ini, manakala Ribut Tropika Imelda semakin kuat berhampiran Bahamas, kata peramal cuaca.

    Humberto kekal sebagai ribut kategori 4 di Atlantik awal hari ini dan amaran ribut tropika telah dikuatkuasakan untuk Bermuda, menurut Pusat Taufan Nasional di Miami.

    Pada jam 2 pagi, Humberto berada kira-kira 400 batu selatan-selatan-barat Bermuda, bergerak ke arah barat laut pada kelajuan 14bsj dengan angin maksimum berterusan 140bsj, lapor pusat itu.

    Ribut itu dijangka beralih secara beransur-ansur sebelum mempercepat ke arah timur laut menjelang lewat esok atau awal Rabu.

    Kekuatan Humberto mungkin berfluktuasi dalam beberapa hari akan datang sebelum melemah, tetapi dijangka kekal sebagai taufan utama yang berbahaya untuk beberapa hari lagi.

    Gambar satelit yang disediakan oleh NOAA menunjukkan Taufan Humberto berada di Bermuda berhampiran Bahamas pada 28 September. – AP

    Di samping itu, Ribut Imelda yang terbentuk kelmarin berada kira-kira 130 batu barat laut Bahamas tengah dan kira-kira 315 batu tenggara Cape Canaveral, Brevard County, Florida, menurut pusat tersebut.

    Imelda bergerak ke utara pada kelajuan 8 bsj dengan angin maksimum berterusan 45bsj, menurut pusat itu.

    Kelmarin, ribut itu mengancam sebahagian Cuba dan Bahamas dengan hujan lebat dan banjir kilat.

    Beberapa kawasan di Bahamas berada di bawah amaran ribut tropika.

    Jabatan Meteorologi Bahamas berkata, hujan sederhana hingga lebat akan berterusan di pulau-pulau barat laut dan tengah, termasuk Nassau, Pulau Andros, San Salvador dan Long Island.

    Jumlah hujan boleh mencecah antara enam inci hingga 12 inci, dengan sehingga 10 inci di kawasan tertentu.

    Manakala, Gabenor South Carolina, Henry McMaster berkata, Imelda boleh membawa angin kencang, hujan lebat, dan banjir ke negeri itu dan pihak berkuasa sedang menempatkan pasukan penyelamat dan pencari sepanjang hujung minggu.

    Di North Carolina, Gabenor Josh Stein mengisytiharkan ‘keadaan darurat’ walaupun sebelum Imelda terbentuk. – AP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda