VINH, VIETNAM, 26 OGOS – Angka korban Taufan Kajiki di Vietnam meningkat kepada tiga hari ini ketika pasukan penyelamat berdepan kesukaran menangani pokok tumbang, kabel elektrik terputus dan banjir besar yang melumpuhkan jalan raya di ibu kota Hanoi.
Taufan itu membadai Vietnam tengah kelmarin dengan kelajuan angin mencecah 130 kilometer sejam (km/sj), merosakkan ribuan bumbung rumah serta memutuskan bekalan elektrik kepada lebih 1.6 juta penduduk.
Pihak berkuasa melaporkan tiga maut dan 13 cedera, selain memberi amaran risiko banjir kilat dan tanah runtuh di lapan wilayah ekoran hujan lebat berterusan.
Di Vinh, wartawan AFP menyaksikan askar dan anggota penyelamat menggunakan peralatan pemotong untuk membersihkan puluhan pokok dan kepingan bumbung besi yang menghalang jalan.
“Sebahagian bumbung besi jatuh dari tingkat lapan sebuah bangunan ke tengah jalan. Mujurlah tiada yang cedera. Taufan ini amat menakutkan,” kata Tran Van Hung, 65 tahun.
Seorang lagi penduduk, Nguyen Thi Hoa, 60, berkata angin kencang semalam jauh lebih kuat daripada ribut biasa. “Kami sudah biasa dengan hujan lebat dan banjir, tetapi tidak pernah saya rasai tiupan angin sekuat ini,” katanya.
Menurut pihak berkuasa, banjir telah memutuskan akses ke 27 kampung di kawasan pergunungan pedalaman manakala lebih 44,000 penduduk dipindahkan ketika ribut menghampiri.
Vietnam sering dilanda taufan bermusim, namun perubahan iklim akibat aktiviti manusia dilaporkan meningkatkan lagi kekerapan dan intensiti bencana cuaca di rantau tropika. – AFP


