Sabtu, 22 November 2025
29.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Taufan Kajiki cetus tanah runtuh, dua maut di Thailand

    BANGKOK, 27 OGOS – Tanah runtuh akibat hujan lebat dibawa Taufan Kajiki meragut dua nyawa dan mencederakan 10 orang di Thailand hari ini, ketika pihak berkuasa memberi amaran hujan lebat serta banjir kilat dalam tempoh beberapa hari akan datang.

    Kajiki sebelum ini membadai selatan China dan Vietnam, menyebabkan ribuan rumah musnah serta puluhan ribu penduduk terpaksa dipindahkan.

    Di utara Thailand, beberapa wilayah termasuk destinasi pelancongan terkenal Chiang Mai dan Mae Hong Son terjejas, dengan pihak berkuasa menjangka hujan berterusan satu hingga dua hari lagi.

    Tanah runtuh di daerah Mae Jam, Chiang Mai mengorbankan dua mangsa, mencederakan 10 orang dan menyebabkan dua lagi hilang, menurut Jabatan Perhubungan Awam Wilayah melalui media sosial.

    “Kita perlu bersiap sedia menghadapi musim ribut antara Ogos hingga September. Jangan leka,” menurut kenyataan jabatan itu.

    Orang ramai mengharungi lorong banjir akibat Taufan Kajiki di Hanoi, Vietnam, Selasa, pada 26 Ogos. – AP

    Imej dikongsi di media sosial menunjukkan bumbung runtuh, pokok tumbang dan arus banjir berlumpur melimpah masuk ke kediaman. Pasukan penyelamat turut digerakkan bagi mencari mangsa hilang termasuk seorang kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun, lapor akhbar tempatan Thairath.

    Jabatan Pencegahan dan Mitigasi Bencana pula menggesa penduduk memindahkan barang berharga ke tempat lebih tinggi serta memberi perhatian kepada kumpulan rentan.

    Thailand lazimnya mengalami hujan lebat antara Jun hingga September, namun pakar menegaskan perubahan iklim akibat aktiviti manusia memburukkan fenomena cuaca ekstrem dan menjadikannya semakin sukar diramal.

    Banjir besar pada 2011 di negara itu meragut lebih 500 nyawa dan merosakkan jutaan rumah. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda