Sabtu, 22 November 2025
23.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Taufan Kajiki ragut 5 nyawa, 15 cedera di Thailand

    BANGKOK, 28 OGOS – Angka korban akibat tanah runtuh dan banjir yang dicetuskan oleh Taufan Kajiki di utara Thailand meningkat kepada lima orang dengan 15 lagi cedera, kata pihak berkuasa hari ini, ketika hujan lebat diramal berterusan sepanjang minggu.

    Taufan yang melanda Vietnam pada Isnin itu memaksa puluhan ribu penduduk berpindah sebelum bergerak ke Laos dan utara Thailand, membawa hujan lebat berterusan.

    Menurut Jabatan Pencegahan dan Mitigasi Bencana, lima mangsa terkorban dan 15 cedera di 12 wilayah utara. Antara kawasan yang terjejas teruk termasuk Nan, Chiang Rai dan Mae Hong Son, dengan banjir kilat merosakkan jambatan serta memutuskan hubungan beberapa komuniti.

    Sejak Ahad, sekurang-kurangnya tujuh individu dilaporkan hilang, manakala lebih 1,800 isi rumah melibatkan 6,300 orang terkesan akibat taufan yang kemudian melemah menjadi ribut tropika ketika bergerak ke daratan.

    “Paras air dijangka terus meningkat di beberapa kawasan,” menurut kenyataan agensi bencana di Facebook.

    Kelmarin, dua mangsa dilaporkan maut akibat tanah runtuh di Chiang Mai, destinasi pelancongan popular di utara negara itu.

    Jabatan Meteorologi Thailand meramalkan hujan berterusan sehingga minggu depan di wilayah utara, timur laut dan tengah.

    Thailand lazimnya mengalami hujan lebat antara Jun hingga September, namun pakar menyatakan perubahan iklim akibat aktiviti manusia telah meningkatkan fenomena cuaca ekstrem, menjadikan keadaan semakin tidak menentu. – AFP

    Gambar AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda