LILOAN, 6 NOV – Taufan Kalmaegi telah meragut kira-kira 142 nyawa dan menyebabkan 127 lagi hilang selepas mencetuskan banjir dahsyat di seluruh tengah Filipina, menurut angka rasmi hari ini, ketika ribut itu bergerak menuju Vietnam.
Menurut pangkalan data bencana EM-DAT, taufan tersebut setakat ini merupakan yang paling maut di dunia tahun ini.
Tahun lepas, Taufan Trami yang turut melanda Filipina, telah mengorbankan sebanyak 191 orang dan merupakan taufan ketiga paling maut pada 2024.
Air banjir yang digambarkan sebagai tidak pernah berlaku sebelum ini melanda bandar dan pekan di wilayah Cebu pada minggu ini telah menghanyutkan kereta, pondok tepi sungai dan kontena besar.
Pejabat pertahanan sivil negara hari ini telah mengesahkan sebanyak 114 kematian, namun angka itu tidak termasuk 28 kematian tambahan yang dicatatkan oleh pihak berkuasa wilayah Cebu dan lebih daripada 500,000 rakyat Filipina masih kehilangan tempat tinggal.
Di Liloan, sebuah bandar berhampiran Cebu, di mana 35 mayat telah ditemui, wartawan AFP melihat kereta bertindih akibat banjir dan bumbung bangunan tercabut ketika penduduk cuba menggali tanah lumpur.
Di samping itu, kelajuan angin Taufan Kalmaegi dilaporkan meningkat hari ini ketika ia menuju ke Vietnam, menimbulkan kebimbangan taufan itu boleh memburukkan lagi kerosakan akibat banjir minggu lalu yang telah meragut seramai 47 nyawa. – AFP


