Taufan kammuri hentam Filipina

MANILA, FILIPINA, 3 DIS – Taufan kuat bertiup kencang di semenanjung Filipina hari ini selepas ia mendarat di kawasan pesisir wilayah timur semalaman, merosakkan rumah dan lapangan terbang serta memutuskan bekalan tenaga elektrik kepada hampir 10 ribu penduduk di negara itu.

Taufan Kammuri melanda bandar Gubat di wilayah negara itu sebelum tengah malam sebelum bergerak ke kawasan barat wilayah Quezon pagi hari ini, menjejaskan beberapa kawasan serta meningkatkan paras banjir di beberapa buah kampung. Taufan tersebut bergerak dengan kelajuan maksimum 150 kmsj dengan kekuatan angin sehingga 235 kmsj tatkala ia menuju ke kawasan kepulauan dan pesisir rantau selatan Manila. Walau bagaimanapun tiada laporan kematian atau kecederaan dicatatkan.

Kammuri juga mencetuskan hujan lebat dan angin kencang sekali gus merosakkan bangunan lapangan terbang di Bandar Legazpi di wilayah Albay.

Lapangan terbang antarabangsa Filipina di Manila juga menggantung sementara operasinya mulai esok.

Pengurus Besar Pihak Berkuasa Lapangan Terbang Antarabangsa Manila, Ed Monreal berkata tindakan itu sebagai langkah keselamatan berdepan Taufan Kammuri yang kuat.

“Syarikat penerbangan dan juga pihak berkuasa mengambil keputusan untuk menggantung sementara operasi di lapangan terbang itu,” katanya.

Monreal berkata, lapangan terbang itu akan tutup dari jam 11 pagi esok hingga 11 malam esok,” katanya. Pejabat kerajaan dan sekolah ditutup di kawasan terjejas dan firma utiliti merayu penduduk bersabar susulan gangguan bekalan yang dijangka berlaku.

Pengawal pantai turut menggantung perjalanan air di kawasan terjejas.

Stesen televisyen tempatan menunjukkan rakaman lapangan terbang di Legazpi dengan kabel, lampu dan panel tergantung dari siling. – AFP

Keadaan ruang menunggu di dalam terminal penumpang selepas taufan Kammuri melanda Bandar Legazpi, wilayah Albay, kelmarin. – AFP