Friday, January 31, 2025
23.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Taufan, kemarau jejas ekonomi Filipina

    MANILA, 30 JAN – Pertumbuhan ekonomi Filipina bagi 2024 gagal mencapai sasaran kerajaan susulan kesan buruk bencana taufan dan kemarau yang melanda negara itu, menurut pegawai setempat hari ini.

    Jabatan Perangkaan Filipina melaporkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) meningkat secara marginal kepada 5.6 peratus berbanding 5.5 peratus pada 2023.

    Bagaimanapun, kadar itu tidak mencapai sasaran kerajaan iaitu 6 hingga 6.5 peratus, kata Timbalan Setiausaha Perancangan Ekonomi, Rosemarie Edillon dalam satu sidang akhbar.

    Beliau berkata, kemarau awal tahun serta enam taufan berturut-turut yang melanda negara itu pada Oktober dan November menjejaskan aktiviti ekonomi utama.

    “Keadaan cuaca ekstrem ini menyebabkan penguncupan 1.8 peratus dalam sektor pertanian, perhutanan dan perikanan, berbanding tahun sebelumnya,” katanya.

    Gambar AFP

    Selain itu, sektor pelancongan turut terkesan akibat siri taufan yang melanda, meskipun sektor industri dan perkhidmatan kekal sebagai pemangkin utama pertumbuhan ekonomi, menurut agensi kerajaan itu.

    Laporan oleh World Weather Attribution bulan lalu menyimpulkan bahawa perubahan iklim akibat aktiviti manusia telah memperhebatkan keparahan taufan yang melanda Filipina, mengorbankan lebih 170 nyawa serta menyebabkan kerosakan bernilai ratusan juta dolar.

    Filipina juga menduduki tangga teratas dalam Laporan Risiko Dunia tahun lalu sebagai negara paling terdedah kepada bencana cuaca ekstrem.

    “Jelas bahawa strategi utama dalam menghadapi norma baharu ini adalah dengan membina daya tahan ekonomi serta memastikan penyesuaian terhadap perubahan iklim dan keutamaan ekonomi global,” kata Edillon. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda